SEJAK kebelakangan ini, pelbagai desas-desus berhubung gerakan menumbangkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertebaran di laman sosial dan turut menjadi topik perbualan utama.
Malah, tidak dinafikan pelbagai tuduhan dan fitnah dilemparkan kepada Perdana Menteri kononnya ia terjadi lantaran kerajaan pimpinan beliau yang tidak cakna masalah rakyat.
Selepas lebih satu tahun mentadbir, Kerajaan Perpaduan telah jelas membuktikan pelbagai masalah yang dihadapi rakyat berjaya diselesaikan.
Dari isu barangan asas seperti beras yang kini berjaya diselesaikan menerusi projek padi ala Sekinchan, menarik pelabur dari negara besar ekonomi dunia ke Malaysia dan sebagainya sudah dibuktikan kerajaan.
Namun masih ada kedengaran tuduhan yang tidak berasas oleh golongan yang kelihatan terdesak untuk meraih perhatian rakyat sekali gus menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Dalam kesibukan tanggungjawab mengemudi pentadbiran negara, Anwar tidak mahu memikirkan soal Langkah Dubai kerana ia tidak langsung memberi kesan kepada Kerajaan Perpaduan.
Malah tumpuan kerajaan pimpinannya sekarang adalah soal kerja semata-mata selain usaha keras dalam membangunkan negara dan menjaga kebajikan rakyat khasnya.
“Saya baca mengenai Langkah Dubai, tapi bagi saya kita tumpu soal kerja. Itu kerja mereka bagi saya tidak mengesankan. Yang penting, kita dah mula 2 Januari melancarkan satu program penting (Pangkalan Data Utama – PADU),” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Ismail Yusop dilaporkan mendakwa, Langkah Dubai timbul sewaktu percutian pemimpin pembangkang termasuk daripada pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.
“Saya ada terbaca mengenai Langkah Dubai di media sosial tetapi bagi saya, kita tumpu soal kerja. Langkah Dubai itu kerja mereka namun bagi saya ia tidak memberi kesan kepada kedudukan Kerajaan Perpaduan.
“Tumpuan utama kerajaan ketika ini adalah membangunkan negara dan menjaga kebajikan seluruh rakyat sekali gus menepis fitnah Anwar tidak peka,” ujar beliau. – WILAYAHKU