KERAJAAN telah meluluskan kira-kira RM589,997,340.00 geran SejaTi MADANI yang melibatkan sebanyak 6,548 permohonan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata kerajaan telah menerima sebanyak 16,782 permohonan telah sehingga 5 Disember 2024.
“Jawatankuasa Pemilihan dan Kelulusan (JPK) di peringkat negeri yang dianggotai oleh rakan strategik Kementerian/ Agensi telah meneliti dan mempertimbangkan sebanyak 8,890 permohonan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawap soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang bertanyakan mengenai keberkesanan program SejaTi MADANI untuk komuniti dan jumlah yang telah diuruskan setakat Oktober 2024.
Jelas Zaliha pelaksanaan Program SejaTi MADANI memfokuskan kepada pemerkasaan ekonomi rakyat yang bertujuan untuk membangunkan potensi dan kebolehan komuniti yang melibatkan melibatkan lima sektor tumpuan iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.
“Permohonan paling tinggi diluluskan adalah daripada Sektor Pertanian dan Makanan (57.0 peratus) diikuti dengan Sektor Pelancongan dan Hospitaliti (34.5 peratus), Aktiviti Hijau dan Kitar Semula (3.8 peratus), Jahitan dan Kraf Tangan (3.6 peratus) serta Herba dan Kesihatan (1.1 peratus).
Pelaksanaan Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) bagi mengupayakan komuniti melalui aktiviti peningkatan sosioekonomi akan melibatkan semua kampung di seluruh negara tanpa ada yang terkecuali dengan peruntukan RM1 bilion. – WILAYAHKU