Berita

Kerajaan tambah RM600 juta dana Program SejaTi MADANI

- Diterbit 5 Februari 2025 11:01 AM MYT

KERAJAAN Persekutuan memperuntukkan RM600 juta bagi pelaksanaan Program SejaTi MADANI bagi tahun 2025 yang bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian Dana sehingga RM100 ribu kepada komuniti yang layak.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan terus meningkatkan intensiti pemantauan bagi mengenal pasti isu di lapangan.

“Langkah itu dibuat sebagai usaha memastikan pelaksanaan projek yang efisien, mengadakan kerjasama dengan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memudah cara proses kelulusan projek,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa.

Jelas Zaliha, ICU juga meneruskan kerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan agensi pembimbing yang mempunyai model program keusahawanan untuk membimbing komuniti, mengeluarkan surat peringatan serta membuat semakan bagi memastikan tiada bayaran khidmat perunding dibuat menggunakan peruntukan Program SejaTi MADANI.

“Ia juga memastikan komuniti membuat laporan polis bagi sebarang kehilangan atau kerugian akibat bencana alam,” katanya.

Menurut Zaliha, pelaksanaan Program SejaTi MADANI memfokuskan kepada pemerkasaan ekonomi rakyat yang bertujuan untuk membangunkan potensi dan kebolehan komuniti.

“Pelaksanaan program ini selain menambah pendapatan komuniti turut memberi manfaat lain, antaranya pewujudan peluang pekerjaan dalam komuniti dan perluasan rantaian bekalan melalui pusat penjualan produk pertanian.

“Selain itu, SejaTi MADANI juga boleh digunakan untuk pembangunan tanah terbiar, pemeliharaan warisan/ budaya bangsa melalui penghasilan produk unit etnik serta membangunkan komuniti berdaya cipta melalui pewujudan pusat rekreasi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas