KERAJAAN MADANI komited untuk memastikan kelancaran pergerakan di pintu sempadan, ujar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya, Kerajaan MADANI telah membuat lawatan mengejut di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar bagi meninjau sendiri keadaan aliran keluar masuk di pintu sempadan ini.
“Kerajaan komited untuk memastikan kelancaran pergerakan di pintu sempadan tanpa berkompromi dengan aspek keselamatan negara,” katanya di Facebook.
Beliau berkata lawatan mengejut itu dibuat selepas menghadiri satu program di Alor Setar semalam.
Menurut Saifuddin, baru-baru ini beliau telah menerima beberapa aduan serta rungutan berkaitan isu kesesakan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar.
“Justeru, saya ingin melihat sendiri keadaan di lapangan serta meneliti keberkesanan sistem yang sedang digunakan.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited untuk terus menambah baik operasi kawalan sempadan ini,” katanya. – WILAYAHKU