Berita

Kerajaan sentiasa ada bantuan kewangan untuk usahawan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 8 Mac 2024 2:50 PM MYT

USAHAWAN kecil tidak perlu risau mengenai aspek modal kerana kerajaan sentiasa mempunyai skim bantuan kewangan khusus untuk mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan berkata mereka hanya perlu menghubungi pejabat khidmat kawasan Parlimen masing-masing untuk membantu dalam proses permohonan.

“Untuk kawasan Parlimen saya (Sungai Buloh), mereka boleh datang ke pejabat pusat khidmat, ada pegawai yang akan bantu mereka membuat permohonan mengikut keperluan mereka.

“Kita ada Amanah Ikhtiar, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan agensi-agensi lain (di bawah kementerian) yang akan tolong,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program penyerahan kelengkapan sekolah anjuran Bank Rakyat kepada murid kurang berkemampuan di sekitar Sungai Buloh di sini, hari ini.

Beliau berkata kaedah permohonan bantuan juga telah dipermudahkan sejak tahun lepas.

“Kebiasaan mereka (usahawan) tidak tahu perlu pergi ke mana atau agensi yang sepatutnya dihubungi, sekarang kita sudah mudahkan banyak perkara.

“Kalau dulu contoh daripada TEKUN, permohonan pinjaman perlu isi 17 dokumen tapi sekarang kita kurangkan kepada empat dokumen sahaja, iaitu lesen perniagaan, gambar premis perniagaan, kad pengenalan dan penyata bank,” katanya.

Pada program hari ini Bank Rakyat menyerahkan bantuan kelengkapan sekolah berjumlah keseluruhan RM30,000 kepada 300 murid kurang berkemampuan dari 10 sekolah di sekitar kawasan Sungai Buloh.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata setiap murid menerima set kelengkapan sekolah bernilai RM100 yang berupa beg sekolah dan alat tulis.

“Inisiatif ini bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan keperluan anak-anak yang masih bersekolah, selain membolehkan murid daripada golongan keluarga berpendapatan rendah menyambung pendidikan,” katanya ketika berucap.

Ramanan turut menaja kos pembukaan Akaun Simpanan-i Nuri Bank Rakyat  sebanyak RM20 bagi setiap murid yang menerima bantuan bagi menggalakkan amalan menabung. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas