KERAJAAN MADANI meletakkan keutamaan dalam memastikan perumahan mampu milik untuk rakyat dengan hampir RM900 juta ringgit diperuntukkan bagi melaksanakan 48 Program Residensi Rakyat (PRR) dan 14 Projek Rumah Mesra Rakyat termasuk dua projek PRR baharu di Port Dickson dan Seberang
Perai Tengah.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 30 projek PRR dijangka siap pada penghujung 2025 yang bakal memanfaat hampir 17,500 penghuni baharu.
“SJKP telah luluskan RM12.8 bilion Jaminan Kerajaan kepada lebih 57 ribu pembeli rumah pertama. Ini termasuk Saudara Venukannan Balakrishnan, seorang pemandu e-hailing yang tidak punyai pendapatan tetap.
“Melalui SJKP, beliau mengecap impian memiliki rumah sendiri di Rawang bersama isteri tersayang,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata kerajaan akan terus menjamin pembiayaan perumahan sehingga RM10 bilion bagi manfaat 20 ribu pembeli rumah.
“Kerajaan bersetuju menyeragamkan dan menaikkan bantuan bina baharu rumah rakyat antaranya penghuni PPRT, nelayan, Kampung Baru Cina kepada maksimum RM90 ribu. Kadar siling baik pulih rumah rakyat juga ditingkatkan kepada maksimum RM20 ribu,” katanya. – WILAYAHKU