Berita

Kerajaan sedia RM50 juta martabat bahasa dan kesusasteraan

- Diterbit 18 Oktober 2024 6:59 PM MYT

BAGI mengangkat darjat bahasa dan kesusasteraan, kerajaan menyediakan RM50 juta untuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bekerjasama dengan penggiat bahasa untuk mempergiat aktiviti bahasa dan kesusasteraan khususnya dalam kalangan generasi muda.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini juga termasuk mengalih bahasa karya-karya agung, penganjuran teater serta memelihara bahasa kaum minoriti seperti etnik Siam.

“Saya selalu tekankan dalam Gelombang Kebangkitan Asia bahawa pembangunan ekonomi harus seiring dengan pembangunan budaya dan nilai.

“Khazanah bahasa dan sastera perlu terus dipertahankan agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

“Kerajaan mendukung penuh pembangunan industri seni kreatif iaitu Peruntukan Dana Kandungan Digital ditingkatkan kepada RM65 juta bagi mempromosi karya-karya terutamanya yang berteraskan semangat kenegaraan,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Anwar berkata hampir RM40 juta turut disediakan di bawah Insentif Filem di Malaysia (FIMI) bagi menyokong penerbitan filem antarabangsa di Malaysia.

“MyCreative Ventures pula disediakan RM25 juta bagi menyokong industri kreatif melalui suntikan ekuiti kepada syarikat berpotensi tinggi dan menyediakan pembiayaan untuk usahawan sosial kreatif,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar berkata Program Belia Kreatif MADANI akan dianjurkan bagi menarik hampir 16 ribu anak muda menceburi bidang seni dengan peruntukan RM30 juta.

“Aktiviti disematkan termasuklah bengkel kemahiran videografi kandungan kreatif, pembangunan komuniti filem serta pertandingan filem pendek,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas