Berita

Kerajaan sasar sumbangan Ekonomi Digital 25.5 peratus kepada KDNK

- Diterbit 6 November 2023 7:22 AM MYT

KERAJAAN menyasarkan sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 25.5 peratus menjelang 2025 berbanding 23.2 peratus ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata transformasi digital adalah strategi utama bagi memastikan Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang berjaya.

“Ekonomi digital kita berdiri sebagai salah satu tonggak ekonomi utama Malaysia, kini menyumbang 23.2 peratus yang besar kepada KDNK negara kita.

“Kami mengunjurkan bahawa angka ini akan melonjak kepada 25.5 peratus (daripada KDNK) menjelang 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Malaysia Digital Expo 2023 (MDX 2023) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri KKD, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha KKD, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa

Menurut Perdana Menteri, suku ketiga tahun 2022, ekonomi digital telah direkodkan menjana AS$15.7 bilion (RM73.24 bilion) dalam pelaburannya sekali gus mengukuhkan statusnya antara sektor yang paling pesat berkembang.

“Usaha ditumpukan menerusi inisiatif strategik nasional Malaysia Digital (MD) pada sembilan sektor penting iaitu perdagangan, pertanian, perkhidmatan, bandar pintar, penjagaan kesihatan, kewangan, kandungan, pelancongan dan ekonomi digital Islam.

“Sektor yang digalakkan ini mempunyai potensi pertumbuhan besar, menawarkan banyak peluang serta penting dalam memacu peralihan Malaysia kepada ekonomi digital,” katanya sambil menambah bahawa Belanjawan 2024 direka untuk memacu pertumbuhan inovasi digital dan teknologi yang sekali gus meletakkan Malaysia teguh di landasan untuk menjadi ekonomi yang berteraskan inovasi.

Beliau turut menegaskan bahawa transformasi digital yang sedang dilaksanakan tidak seharusnya meminggirkan penduduk di kawasan pendalaman dan miskin bandar.

“Transformasi digital ini seolah-olah kita sedang menggapai langit baharu. Bukan saja meneroka yang baharu, tapi menggapai yang baharu. Ia agak mencabar, yang belum selesa dalam kalangan segelintir rakyat.

“Sebab itu, kita bicara tentang penglibatan ramai, supaya dalam menggapai langit itu, ia tidak meninggalkan rakyat dibawah terutama di kawasan pedalaman dan miskin bandar,” katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas