Berita

Kerajaan sasar eksport komoditi pertanian RM300 bilion

MENURUT Zuraida, setakat ini sebanyak 15 buah negara asing telah mengesahkan penyertaan mereka di ekspo berkenaan.
- Diterbit 24 Mac 2022 3:52 AM MYT

KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyasarkan pertumbuhan eksport komoditi pertanian negara kepada RM300 bilion tahun ini, berbanding RM204 bilion yang dicapai tahun lalu.

Menurut menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin menjelaskan, ia berdasarkan prestasi keenam-enam industri pertanian utama negara, iaitu kelapa sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf yang memperlihatkan peningkatan memberangsangkan.

“Unjuran nilai industri komoditi pertanian global dianggarkan berjumlah AS$756 bilion (RM3.19 trilion) jadi sektor ini memberikan peluang yang luas buat kita untuk meningkatkan nilai eksport dan keluaran dalam negara kasar (KDNK),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pra-pelancaran Ekspo dan Sidang Kemuncak Komoditi Pertanian Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022, baru-baru ini.

MIACES 2022 yang bakal diadakan di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 26 hingga 28 Julai ini menyasarkan penyertaan sehingga 20,000 pengunjung dan 250 syarikat dari pelbagai negara.

Menurut Zuraida, setakat ini sebanyak 15 buah negara asing telah mengesahkan penyertaan mereka di ekspo berkenaan termasuk Bangladesh, India, Sri Lanka, Indonesia dan Iran.

“Menerusi penganjurannya, kita mahu pemain industri tempatan dan antarabangsa mewujudkan jalinan kerjasama, sekali gus membuktikan kualiti serta keupayaan produk di peringkat antarabangsa,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas