KERAJAAN terus memperkukuh sokongan kepada kilang padi dan pemborong Bumiputera bagi memastikan kelangsungan operasi mereka di sebalik lonjakan harga belian padi yang tinggi dan harga beras yang masih rendah.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan bahawa sejak Perjanjian Konsesi pertama antara kerajaan dan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) pada 1996 hingga 2011, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan pengusaha Bumiputera kekal berdaya saing dalam industri padi dan beras negara.
“Melalui perjanjian konsesi semasa yang berkuat kuasa sehingga 2031, kerajaan terus mengukuhkan penyertaan Bumiputera dengan memperuntukkan dana sebanyak RM100 juta bagi melaksanakan program pembangunan industri padi dan beras,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Negara semalam.
KPKM berkata antara program utama yang telah dan sedang dilaksanakan oleh BERNAS termasuk Program Rakan Kilang BERNAS, yang menyediakan Pendahuluan Modal kepada pengilang Bumiputera bagi pembelian padi pada harga minimum yang ditetapkan kerajaan tanpa caj faedah.
“Sejak 2015, sebanyak RM2.546 bilion telah disalurkan untuk tujuan ini. Sehingga 31 Januari 2025, seramai 13 pengilang Bumiputera masih aktif menyertai program ini.
“Selain itu, Skim Upah Kisar (SUK) dan Skim Upah Mengering dan Kisar (SUMK) yang dilaksanakan dari 2010 hingga 2016 telah membantu 32 pengilang Bumiputera mengekalkan operasi mereka dengan sokongan modal dan bayaran upah bagi pemprosesan padi,” katanya.
Menurut KPKM, untuk membantu pengilang yang mengalami kesukaran kewangan, kerajaan turut memperkenalkan Program Debt Relief, yang membolehkan penghapusan hutang lapuk bagi pengilang yang layak.
“Sehingga 31 Disember 2024, sebanyak 20 pengusaha kilang Bumiputera telah menerima kelulusan di bawah program ini, melibatkan jumlah hutang yang dihapuskan sebanyak RM34.467 juta,” katanya.
KPKM berkata kerajaan turut memantau pelaksanaan setiap program pembangunan Bumiputera ini secara berkala dengan menilai pencapaian Key Performance Indicators (KPI) yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi BERNAS bagi memastikan keberkesanannya.-WILAYAHKU