Berita

Kerajaan Persekutuan, Sabah jalin kerjasama sambung semula perkhidmatan feri ekspress Labuan- Kota Kinabalu

- Diterbit 25 Februari 2025 5:29 PM MYT

MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa memaklumkan cadangan penyambungan semula perkhidmatan Feri Ekspres Labuan ke Kota Kinabalu yang tergendala bakal mencapai penyelesaian dalam waktu terdekat.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor di Menara Kota Kinabalu, semalam.

Zaliha berkata kerajaan persekutuan menerusi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bersama Kerajaan Negeri Sabah telah mencapai komitmen bersama dalam menyelesaikan isu tersebut dan memberikan tumpuan kepada kerjasama strategik di antara kedua-dua wilayah.

“Salah satu perkara yang dibincangkan adalah berkenaan perkhidmatan feri ekspres antara Labuan dengan Kota Kinabalu. Perkhidmatan ini bukan sahaja penting sebagai satu lagi laluan pengangkutan utama tetapi ia juga berperanan besar dalam merancakkan semula ekonomi di kedua-dua wilayah.

“Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor menyambut baik cadangan ini dan kedua-dua pihak komited untuk menyelesaikan isu ini dengan kadar segera bagi memastikan kemudahan tersebut kembali beroperasi demi manfaat rakyat,”katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Hadir sama, Ketua Pengarah JWP Datuk Noridah Abdul Rahim, Pengerusi Perbadanan Labuan, Tan Sri Anifah Aman, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib.

Dalam pada masa sama, Zaliha menjelaskan pada pertemuan itu turut membincangkan mengenai kerjasama diantara kedua-dua wilayah dalam sektor pelancongan.

Katanya, JWP dan kerajaan Sabah bersetuju untuk bekerjasama dalam usaha menarik pelancong luar serta meningkatkan daya saing sektor pelancongan.

“Kunjungan hormat ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memastikan pembangunan Labuan terus diberikan keutamaan sebagai pusat ekonomi yang berdaya saing dan mampan.

“JWP akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Sabah bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat direalisasikan demi manfaat rakyat serta kesejahteraan Wilayah Persekutuan secara menyeluruh,”katanya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas