KERAJAAN Persekutuan komited memperkukuh penguatkuasaan terhadap pemaju yang gagal menyelenggara bangunan tinggi di Wilayah Persekutuan bagi memastikan aspek estetika, keselamatan, dan fungsi bangunan terpelihara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, berkata Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) memainkan peranan aktif dalam mengawal selia pembangunan serta penyelenggaraan bangunan berskala mega dan baharu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.
“DBKL, PPj, dan PL telah melaksanakan penguatkuasaan berdasarkan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) bagi memastikan pemaju mematuhi standard yang ditetapkan.
“Langkah ini dilaksanakan menerusi pemantauan rapi serta pematuhan ketat terhadap Undang-Undang Kecil Bangunan (WPKL) 1985 dan peraturan berkaitan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara semalam.
Menurut beliau, DBKL telah mengeluarkan 1,340 notis di bawah Seksyen 85A, Akta 133 kepada bangunan melebihi lima tingkat yang telah berusia 10 tahun sejak 2005.
“Sebanyak 1,202 sijil penyempurnaan pemeriksaan berkala telah diberikan kepada pemilik bangunan bertingkat sebagai sebahagian daripada usaha pemantauan dan penyelenggaraan berkala,” katanya.
Berhubung keadaan Menara Tulus dan Menara Ikhlas di Presint 3, Putrajaya yang mengalami kerosakan dan mencacatkan pemandangan, beliau berkata PPj telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 85A, Akta 133 kepada pemiliknya pada 24 Oktober 2022.
“Tindakan susulan sedang dijalankan bagi memastikan bangunan tersebut diselenggara mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.
Zaliha berkata dalam usaha meningkatkan kecekapan pemantauan, DBKL telah memperkenalkan Sistem BRID 3.0, yang membolehkan laporan kerosakan bangunan direkodkan dengan lebih sistematik dan tindakan segera diambil.
“Sementara itu, PPj juga sedang menggubal Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (Wilayah Persekutuan Putrajaya) bagi menyesuaikan peraturan dengan keperluan semasa, manakala PL pula sedang memuktamadkan draf undang-undang kecil yang serupa bagi Wilayah Persekutuan Labuan.
“Pematuhan ketat terhadap undang-undang sedia ada akan terus ditekankan bagi memastikan bangunan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan memenuhi piawaian keselamatan, keindahan bandar, serta kesejahteraan penghuni dan masyarakat sekeliling,” katanya.-WILAYAHKU