Berita

Kerajaan perkenal BAS.MY tawar tambang percuma untuk pelajar sekolah

- Diterbit 18 Februari 2025 11:38 AM MYT

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang memperluaskan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST) menggunakan jenama BAS.MY dan menawarkan tambang percuma untuk pelajar sekolah.

MoT memaklumkan, perkhidmatan tersebut sedang diperluaskan di Johor Bahru, Melaka, Seremban, Ipoh, Kota Setar, Kangar, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu.

“Kawasan sekolah juga telah diambil kira dalam rancangan jajaran perkhidmatan BAS.MY. Pelajar-pelajar sekolah juga boleh menikmati tambang percuma melalui Kad Konsesi BAS.MY,” katanya.

MOT berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (BEBAS-Kuala Kangsar) mengenai kenaikan harga tambang bas sekolah susulan penarikan subsidi pukal diesel sebelum ini dan apakah intervensi Kerajaan bagi meringankan beban para ibu bapa yang terpaksa menanggung kenaikan kos ini di parlimen pada Isnin.

Katanya, kerajaan telah pun memberikan subsidi diesel melalui pemberian fleet card sebanyak 1,200 liter sebulan untuk van sekolah dan 1,800 liter untuk bas sekolah bagi meringankan bebanan kos operasi yang terpaksa ditanggung oleh pengusaha bas sekolah.

“Kadar tambang bas sekolah yang dikenakan oleh pengendali adalah bergantung kepada rundingan di antara pihak pengendali dan pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) setelah ia dilebaralisasikan sejak 1 Januari 2015 yang lalu,” katanya.

MOT berkata pihaknya mengambil inisiatiif di Lembah Klang menerusi RapidKL yang menyediakan kad konsesi kepada pelajar sekolah yang menawarkan diskaun 50 peratus untuk perkhidmatan bas RapidKL, BRT, LRT, MRT dan Monorel.

“Selain itu, RapidKL telah memperkenalkan perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT) menggunakan van dengan jenama RapidKL On Demand pada kadar RM0.50 setiap perjalanan bagi pelajar sekolah dan sejumlah 300 van akan diperkenalkan secara berfasa serta perkhidmatan itu juga akan merangkumi Pulau Pinang.

“MOT telah melaksanakan pelbagai inisiatif agar pelajar-pelajar sekolah dapat pergi ke sekolah menggunakan pengangkutan awam pada kadar yang berpatutan,” katanya.

MOT berkata sebagai tambahan, selaras dengan pengumuman Belanjawan 2025, Prasarana akan melaksanakan perkhidmatan DRT yang memberikan fokus kepada kawasan sekolah dengan dua laluan awal dari stesen LRT Sri Rampai ke Giant Ulu Kelang dan SMK Seksyen 5, Wangsa Maju.

“Stesen LRT Melati ke Danau Kota, SMK Gombak Setia Seksyen 1 dan 2, SRA Al-Nawawi, Setapak serta SRA Zaid Harithah, Gombak,” katanya.

Tambahnya, jika terdapat aduan kenaikan yang tidak rasional dan tidak berasas serta tanpa rundingan dengan pihak sekolah dan PIBG, pihak pengendali boleh disiasat di bawah Akta Persaingan 2010. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas