Berita

Kerajaan panggil Setiausaha Agung semua parti bincang RUU Pendanaan Politik

- Diterbit 25 Februari 2025 10:03 AM MYT

SATU mesyuarat bersama Setiausaha Agung semua parti politik akan diadakan dalam masa terdekat bagi mendapatkan pandangan mengenai cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia juga bagi mendengar pendirian setiap parti mengenai RUU berkenaan.

Pada masa yang sama katanya, kerajaan juga akan mendengar dan mendapatkan pandangan daripada parti-parti politik kerajaan dan pembangkang melalui universiti sebagai pihak neutral.

“Ini bagi memastikan keputusan yang diambil adalah inklusif dan melibatkan pelbagai perspektif.

“Ini termasuk kajian kesemua parti politik dan pandangan pihak berkepentingan, termasuk orang awam,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengenai status Akta Pendanaan Politik dan bila ia akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Azalina memberitahu, pendekatan yang diambil kerajaan itu penting untuk memastikan dasar yang dilaksanakan benar-benar mencerminkan kehendak dan keperluan rakyat.

“Melalui pendekatan ini, Kerajaan MADANI dapat memastikan bahawa setiap langkah yang diambil adalah berdasarkan data yang sahih dan telus, sekali gus memberi manfaat kepada seluruh masyarakat,” katanya.

Beliau menambah, buat masa ini tiada undang-undang atau peraturan yang mengawal selia sumbangan politik di Malaysia.

Katanya, peruntukan sedia ada yang berkaitan adalah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memantau perbelanjaan calon pilihan raya sahaja dan bukannya perbelanjaan parti.

Selain itu jelasnya, Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) hanya menetapkan supaya setiap pertubuhan termasuk parti politik untuk mengemukakan penyata kewangan kepada ROS.

“Maka penggubalan cadangan RUU Pendanaan Politik ini dilihat dapat mengurangkan risiko rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan ahli politik di Malaysia dan seterusnya memberikan imej yang positif kepada kerajaan dan negara,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas