MANGSA insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights akan terus ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk tempoh sekurang-kurangnya seminggu lagi sebelum Kerajaan Negeri Selangor memuktamadkan penyelesaian penempatan yang lebih selesa.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri sedang meneliti beberapa langkah terbaik untuk memastikan kebajikan mangsa sentiasa terjaga, seiring dengan titah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Kita akan memuktamadkan formula terbaik bagi memastikan kebajikan mereka terbela dan akan mengumumkan pelan tindakan ini pada Ahad atau Isnin bagi memastikan sokongan diberikan lebih berkesan,” katanya dalam sidang media di Bangunan SUK Selangor, hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Selangor, Commisioner Polis (CP) Datuk Hussein Ismail.
Dalam pada itu, kerajaan negeri akan mengetatkan kawalan terhadap kehadiran pelawat di PPS bagi memastikan keselamatan dan keselesaan mangsa tidak terjejas.
Menurut Amirudin, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan lokasi khas untuk pertemuan dengan saudara-mara atau pihak tertentu yang ingin melawat.
“Kita mengesan kesesakan yang berlaku di PPS ekoran kehadiran ramai pihak termasuk pelawat, saudara-mara serta badan bukan kerajaan (NGO).
“Oleh itu, langkah kawalan perlu diambil untuk menjamin keselamatan, kesihatan, dan privasi mangsa,” jelasnya.
Dalam usaha membantu mangsa yang terjejas, beberapa syarikat termasuk Chery, Carro, dan Carsome tampil menghulurkan bantuan dengan menawarkan pinjaman kenderaan kepada penduduk yang kehilangan kenderaan akibat kejadian tersebut.
Selain itu, Yayasan Islam Darul Ehsan turut mengambil inisiatif membantu pelajar sekolah dari kalangan keluarga mangsa, termasuk menyediakan pengangkutan ke sekolah bagi memastikan sesi persekolahan mereka tidak terjejas.
Kerajaan negeri akan terus memantau situasi ini dan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk memastikan bantuan menyeluruh diberikan kepada semua mangsa terlibat.-WILAYAHKU