Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Kerajaan mahu bantu rakyat B40, M40

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 24 Mei 2024 9:10 AM MYT

PENYUSUNAN kewangan negara menerusi penyelarasan diesel dapat memberikan lebih banyak ruang untuk membantu rakyat khususnya dalam meningkatkan produktiviti menerusi penyaluran peruntukan untuk sektor kesihatan, pendidikan dan infrastruktur.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Mualamat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyatakan dengan dasar sedia ada, sukar untuk kerajaan meningkatkan daya saing ekonomi negara berikutan sebahagian besar perbelanjaan ditumpukan kepada subsidi bahan api yang telah menjangkau hampir RM48 bilion.

“Kerajaan mensasarkan penjimatan RM4 bilion hasil dari langkah terbaharu dan ia boleh disalurkan tiga sektor iaitu pendidikan, kesihatan dan infrastruktur yang berupaya meningkatkan produktiviti dan daya saing ekonomi negara.

“Kerajaan juga perlu berbelanja ke arah sektor pendidikan untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi, sektor kesihatan dengan meningkatkan kemudahan di fasiliti kesihatan dan menambah bilangan doktor dan memperkasa  infrastruktur seperti kemudahan jalan raya, telekomunikasi dan sebagainya kerana ia penting untuk kelestarian,” kata beliau ketika dihubungi.

Katanya bantuan sedia ada ketika ini tersasar berikutan ia turut dinikmati oleh golongan yang berkemampuan malah ada juga yang turut menerima elaun perjalanan yang diberikan syarikat pada masa sama turut menikmati subsidi daripada kerajaan.

“Selain itu kaedah yang lama turut berdepan isu penyuludupan diesel yang banyak dilaporkan dari sempadan darat hinggalah di tengah laut, jadi ketirisan ini telahpun berlaku dan berlanjutan begitu lama maka instrumen subsidi yang sewajarnya untuk membantu rakyat jelas ada kelemahan dan ia perlu diperbaiki,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata beliau menjangkakan bermungkinan akan berlaku kesan terhadap harga barangan keperluan selain para peniaga pula akan menggunakan alasan sama untuk menaikkan harga barang.

“Kerajaan mesti meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang supaya unsur manipulasi harga dan aktiviti sorok barangan serta kartel dapat ditangani dengan sitematik dan mengekang amalan songsang yang menyusahkan rakyat ini,” katanya.

Menurut Mohd Afzanizam, reformasi ekonomi yang dilakukan ini dilihat hala tuju kerajaan untuk mencapai sasaran negara berada di kedudukan kelompok 30 negara ekonomi terbesar di dunia dalam tempoh 10 tahun.

“Kita sedia maklum tempoh tersebut, pelbagai risiko kejutan ekonomi akan berlaku kerana ia berkait dengan geopolitik dunia seperti krisis di Timur Tengah dan Eropah Timur yang memberikan kesan langsung kerana ekonomi Malaysia terbuka dan berkait dengan situasi global.

“Yang penting, usaha kerajaan ini untuk menyusun sumber supaya ia dapat dimanfaat bagi meningkatkan produktiviti negara. Perbelanjaan ke arah tiga sektor itu berupaya meningkatkannya.

“Jika produktiviti negara tinggi, maka banyak produk dapat dihasilkan dan industri akan menjadi lebih kompleks dan pecahan-pecahannya akan mewujudkan peluang pekerjaan yang boleh dinikmati oleh rakyat kita dan secara langsung akan meningkatkan pendapatan negara sekali gus mengembangkan saiz ekonomi akan menjadi lebih besar,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas