Berita

Kerajaan MADANI peruntuk RM153.2 juta untuk pembangunan KESEDAR

- Diterbit 16 Mac 2024 9:00 PM MYT

KERAJAAN MADANI memperuntuk sebanyak RM153.2 juta bagi pembangunan di Wilayah Selatan Kelantan melalui KESEDAR menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bagi tahun 2024 sahaja, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM36.47 juta merangkumi pelaksanaan 27 program dan projek pembangunan.

Beliau berkata untuk rakyat di Tanah Merah, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah melalui KESEDAR pada 2024 telah memperuntuk RM7.2 juta bagi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan antaranya kemudahan awam dan infrastruktur perhubungan yang memberi manfaat langsung kepada lebih 10,000 penduduk.

“Projek utama lain kementerian yang akan dilaksanakan di Tanah Merah ialah menaik taraf jalan ke Kampung Kusial yang akan menelan belanja sebanyak RM42.5 juta,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Mukim Batang Merbau di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi KESEDAR Datuk Zawawi Othman.

Beliau berkata apabila projek itu siap pada 2026, ia dijangka dapat menyelesaikan isu jalan perhubungan yang terputus semasa banjir ke kampung berkenaan.

Ahmad Zahid berkata penduduk Tanah Merah turut mendapat manfaat daripada pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Termiskin justeru itu, lebih banyak program pembangunan yang boleh meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan itu dan Kelantan selatan umumnya akan terus dipacu.

Beliau turut menerima beberapa permohonan dan laporan bergambar daripada beberapa masjid serta madrasah di Kelantan yang memohon untuk menaik taraf dan penyelenggaraan seperti membaiki kerosakan bumbung dan dinding roboh serta menukar pintu.

“Atas dasar keprihatinan dan bagi memastikan ruang solat lebih selesa, saya akan meneliti serta mempertimbang setiap permohonan… insya-Allah, jika tiada sebarang masalah untuk meluluskannya, saya akan mengarahkan agar bantuan ini dapat disalurkan sesegera yang boleh,” katanya.

Pengerusi KESEDAR Datuk Zawawi Othman pula berkata pada tahun ini, pihaknya akan memfokus kepada pelbagai program dari segi penyediaan kemudahan infrastruktur yang sempurna dan lengkap, peningkatan ekonomi serta pendapatan selain pembangunan modal insan masyarakat luar bandar.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ahmad Zahid kerana telah meluluskan sejumlah peruntukan yang besar kepada KESEDAR. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas