Berita

Kerajaan MADANI biayai bantuan kewangan penjawat awam Terengganu

MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengunjungi Bazar Ramadan Padang Astaka di Chukai, Kemaman, Terengganu.
- Diterbit 24 Mac 2025 5:00 PM MYT

LEBIH 14,000 penjawat awam Kerajaan Negeri Terengganu bakal menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) sebanyak RM500 sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti mereka.

Kementerian Kewangan (MoF) berkata keputusan tersebut diambil susulan lawatan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Terengganu pada 21 Mac lalu.

“Kerajaan MADANI telah bersetuju untuk membiayai Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) bagi penjawat awam Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengunjungi Bazar Ramadan Padang Astaka di Chukai, Kemaman, Terengganu.

MoF berkata langkah itu selari dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan prinsip kesaksamaan ekonomi.

“Kerajaan MADANI kekal dengan pendekatan manusiawi agar kemakmuran negara dapat dirasai bersama, sejajar dengan wawasan Menaikkan Lantai dalam kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.

Tambahnya, pembayaran akan dibuat sebelum Hari Raya Aidilfitri bagi membantu penjawat awam membuat persiapan menyambut lebaran.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas