Berita

Kerajaan MADANI beri tumpuan khusus terhadap Labuan

MENURUT Zaliha, pihaknya menerima berita baik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai permohonan menambah baik perkhidmatan di Hospital Labuan
- Diterbit 24 Disember 2024 9:58 PM MYT

LABUAN akan terus mendapat tumpuan khusus daripada Kerajaan MADANI dalam memacu pembangunan infrastrukur dan ekonomi demi kesejahteraan warga pulau itu.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, dalam usaha itu, kerajaan telah merangka pelbagai perancangan dari sudut pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan yang sedia ada pulau itu.

Katanya, antara perancangan yang akan dilaksanakan adalah penambahbaikan mutu perkhidmatan yang ada termasuk di Hospital Labuan.

“Berbanding kerajaan sebelum ini, kita memberikan tumpuan yang khusus kepada Labuan. Apatah lagi ketika ini saya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan yakin kita akan meningkatkan usaha-usaha ini,” katanya ketika mengulas mengenai perancangan dan harapan yang bakal dilaksanakan pada tahun 2025 di LabuanFM.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata, pihaknya menerima berita baik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai permohonan menambah baik perkhidmatan di Hospital Labuan.

MENURUT Zaliha, pihaknya menerima berita baik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai permohonan menambah baik perkhidmatan di Hospital Labuan

Terdahulu, beliau mengakui beberapa isu berlarutan yang dihadapi oleh penduduk di Labuan antaranya gangguan elektrik dan bekalan air telah menunjukkan kemajuan berbanding dahulu.

“Berdasarkan maklum balas daripada orang ramai, gangguan bekalan air dan elektrik telah berkurangan dengan sangat ketara dan pencapaian ini adalah daripada hasil peruntukan yang telah diluluskan pada tahun lalu sejumlah RM300 juta bagi mengatasi masalah tersebut,”katanya.

Beliau berkata usaha untuk memanfaatkan potensi pulau itu, tiga pasukan petugas khas telah ditubuhkan bertujuan untuk menumpukan kepada pelancongan, pemindahan kargo dan pembangunan infrastruktur termasuk projek jambatan (Labuan-Menumbok).

“Pasukan ini giat merancang usaha untuk menjadikan Labuan sebagai destinasi utama untuk pelancongan dan perniagaan,”katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas