Berita

Kerajaan komited pertingkat teknologi pengawasan ESSCom – Hamzah

- Diterbit 21 Disember 2020 4:51 AM MYT

KERAJAAN akan terus meningkatkan teknologi pengawasan elektronik sejajar dengan kemampuan kewangan negara dalam usaha mengawal kemasukan pendatang tanpa izin dari Filipina ke pantai timur Sabah, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata kerajaan juga komited untuk mengoptimumkan jaringan keselamatan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dengan mempertingkatkan lagi kemampuan pasukan keselamatan khususnya dari segi jumlah keanggotaan serta kelengkapan canggih dan terkini.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa cabaran dihadapi ESSCom dalam mengawal kemasukan warga asing, antaranya kedudukan geografi pantai timur Sabah berhampiran dengan sempadan negara jiran yang membuka ruang kepada pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan.

“Selain itu, kawasan pesisir pantai timur Sabah yang bermula dari Kudat hingga Tawau sepanjang 2,344.6 kilometer merupakan satu kawasan yang amat panjang,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Donald Peter Mojuntin berkenaan cabaran utama  ESScom dalam mengawal kemasukan pendatang tanpa izin dari Filipina ke pantai timur Sabah.

Hamzah berkata kewujudan banyak pulau di perairan pantai timur Sabah iaitu sekitar 307 pulau membolehkan warga asing dari selatan Filipina mengelak daripada dikesan pihak berkuasa Malaysia dengan bersembunyi di pulau-pulau tersebut terlebih dahulu sebelum memasuki perairan negara.

Katanya cabaran lain ialah kewujudan pertalian kekeluargaan di antara penduduk Sabah dan Filipina serta pergerakan keluar masuk sejak sekian lama telah menjadi kebiasaan atau amalan masyarakat setempat di di antara Sabah dan Filipina.

Selain itu, kewujudan tali barut dalam kalangan rakyat tempatan yang memberi maklumat mengenai keberadaan aset laut pasukan keselamatan kepada tekong laut yang membawa pendatang tanpa izin menyukarkan lagi usaha mengesan pergerakan bot membawa warga asing terbabit, katanya. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas