Berita

Kerajaan kaji mekanisme naik taraf lesen B2 ke B

- Diterbit 22 Januari 2024 4:48 PM MYT

KERAJAAN akan menyegerakan mekanisme pelaksanaan naik taraf lesen memandu kelas B2 bagi motosikal kepada B dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata had umur dan tempoh pemilikan lesen antara perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum cadangan naik taraf secara automatik dapat diputuskan.

“Perkara itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat terperinci dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat.

“Apa yang kami bincangkan tadi, ada tempoh tertentu dari segi umur iaitu pemohon itu mesti berumur 35 tahun ke atas, keduanya memegang lesen B2 untuk satu tempoh yang tertentu, baru layak untuk mendapat B penuh. Perkara ini kita akan muktamadkan bila bermesyuarat dengan JPJ dan JSPT,” katanya.

Sebelum ini, pada Ogos 2023, Ahmad Zahid mencadangkan supaya lesen memandu kelas B2 dinaik taraf kepada kelas B secara automatik.

Malah, isu sama turut dibangkitkan oleh peserta sesi libat urus hari ini yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Loke berkata keputusan menaik taraf kepada lesen B secara automatik tidak mudah kerana statistik JSPT menunjukkan kemalangan jalan raya paling banyak melibatkan mereka yang berumur dalam kalangan 16 hingga 35 tahun.

“Kita lihat data, kalau mereka yang baru dapat lesen B2 diberi lesen B, dia akan bertindak sewenang-wenangnya, kalau berumur sedikit mungkin lebih berpengalaman selain ada tanggungjawab kepada keluarga dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid berkata Jemaah Menteri bersetuju menggabungkan dua Jawatankuasa Kabinet di bawah Kementerian Pengangkutan iaitu Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya dan Jawatankuasa Kabinet Keselamatan Jalan Raya.

“Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya pagi tadi, kita juga memutuskan untuk meningkatkan kekerapan mesyuarat daripada satu atau dua kali setahun kepada tiga kali setahun dengan tujuan mendapatkan maklumat-maklumat terbaharu terhadap soal keselamatan dan kesesakan jalan raya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas