Fitnah vs Fakta

Kerajaan jaga kebajikan pesawah

KPKM telah menyelaras harga kawalan maksimum bagi benih padi sah (BPS).
- Diterbit 7 Mei 2025 1:37 PM MYT

AKHIR-akhir ini tular kembali isu pesawah tidak dihargai dan diabaikan oleh kerajaan.

Menurut segelintir warganet, mereka mendakwa kononnya kerajaan lebih mengutamakan keuntungan yang dikaut oleh kartel berbanding menjaga kebajikan pesawah.

Mana tidaknya, pihak kartel industri sebelum ini telah mengaut keuntungan daripada manipulasi beras tempatan kepada beras import.

Pesawah yang hidup susah pula terpaksa menanggung beban akibat kos pengeluaran yang meningkat.

“Sebelum ini mereka telah mendapat untung yang besar dan sekarang mereka juga yang untung besar,” dakwa salah seorang warganet.

Kepada warganet yang hanya tahu mengkritik dan mencari salah kerajaan, satu fakta yang perlu tahu adalah usaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyelaras harga kawalan maksimum bagi benih padi sah (BPS) berkuat kuasa mulai 15 April lalu.

KPKM berkata ia adalah di bawah Insentif Benih Padi Sah bagi peringkat borong yang diselaraskan daripada RM54 kepada RM52 per kampit 20 kilogram (kg) manakala di peringkat runcit daripada RM58 kepada RM56 di Semenanjung.

Menurut kenyataan itu penyelarasan harga kawalan maksimum bagi BPS di peringkat borong dan runcit dilaksanakan melalui sesi libat urus yang diadakan oleh KPKM bersama pesawah dan pengeluar setelah mengambil kira pelbagai faktor antaranya kos pengeluaran BPS dan penyelarasan harga lantai belian padi.

“Keputusan ini adalah sebahagian daripada usaha KPKM untuk menjaga kebajikan pesawah agar mereka mendapat benih padi yang berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan.

“Selain itu, bagi memastikan ketersediaan bekalan BPS yang berterusan di pasaran untuk keseimbangan ekosistem industri padi dan beras negara,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

KPKM berkata semua pemborong dan peruncit BPS adalah diarah untuk menyelaras harga BPS di peringkat jualan masing-masing.

“Mana-mana pihak yang didapati memanipulasi bekalan dan harga BPS seperti enggan menjual, menyorok bekalan dan mengenakan syarat pembelian atau menjual melebihi harga kawalan maksimum yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan pembatalan lesen di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan perundangan-perundangan subsidiari di bawahnya,” tegasnya.

Terdahulu, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menyalurkan sepenuhnya bantuan khas sebanyak RM90 juta kepada KPKM, sebagai komitmen tidak berbelah bagi syarikat itu terhadap kebajikan pesawah di negara ini.

Dalam kenyataannya, Bernas menekankan bahawa langkah itu selaras dengan janji syarikat itu untuk menyokong inisiatif Kerajaan MADANI dalam meningkatkan taraf hidup pesawah yang kurang berkemampuan dan memastikan keterjaminan makanan negara.

Menurut kenyataan itu, dana tersebut yang keseluruhan disumbangkan oleh Bernas tanpa menggunakan dana awam, disalurkan menerusi dua fasa dengan fasa pertama sebanyak RM60 juta dibayar secara berperingkat manakala bayaran terakhir RM15 juta telah diselesaikan pada 5 Mac lepas.

Semua ini ternyata menjadi bukti bahawa kerajaan tidak pernah sesekali mengabaikan kebajikan para pesawah yang menjadi ‘tulang belakang’ dalam negara ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas