Berita

Kerajaan hasrat ganti pekerja asing dengan bekas banduan

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar
- Diterbit 31 Oktober 2023 7:43 AM MYT

KERAJAAN kini menyatakan hasrat bagi menggantikan tenaga pekerja asing di negara dengan bekas-bekas banduan.

Menurut Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar, ia berikutan kebanyakan banduan yang telah selesai menjalani hukuman, masih mampu untuk melakukan sesuatu pekerjaan.

“Kita boleh menggunakan tenaga mereka (bekas banduan) untuk menggantikan pekerja asing. Banyak usaha diambil Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan ia dilaksanakan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), malah banyak latihan juga diberikan.

“Ramai juga (bekas banduan) diberi peluang pekerjaan. Mereka yang ada dalam penjara diberi latihan dan mereka yang keluar dari penjara selepas menjalani latihan juga sudah ditempatkan di alam pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang ingin tahu sama ada kerajaan merancang menjadi pemudah cara antara majikan dan pihak penjara untuk mengadakan persefahaman yang membenarkan bekas banduan menggantikan pekerja asing, di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berkenaan jumlah pekerja asing dalam negara, beliau memberitahu setakat 30 September lalu, unjuran jumlah keseluruhan kumpulan itu seramai 2,730,153 orang.

“Ia merangkumi pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara aktif berjumlah 1,830,828, pekerja asing yang belum memasuki negara seramai 152,158 serta pendatang asing tanpa izin yang berdaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 seramai 747,167.

“Penggunaan pekerja asing adalah bagi memenuhi keperluan tenaga kerja bagi sektor-sektor tertentu yang sukar diisi oleh tenaga buruh tempatan.

“Berikutan itu, kerajaan giat merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif merentasi kementerian dan agensi bagi menggalakkan tenaga kerja tempatan menceburi pekerjaan dalam sektor yang didominasi pekerja asing,” jelasnya.

Tambahnya, KSM, menggalakkan industri supaya beralih kepada penggunaan automasi, mekanisasi dan pendigitalan yang dapat mewujudkan permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi serta dalam masa sama mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah secara berperingkat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas