KERAJAAN mengambil langkah proaktif memastikan harga tiket penerbangan domestik kekal terkawal menjelang musim perayaan dengan memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk subsidi tambang, penambahan penerbangan dan harga tetap untuk penerbangan lewat malam (red-eye flights).
Kementerian Pengangkutan memaklumkan bahawa perbincangan bersama Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan syarikat penerbangan telah membuahkan hasil, di mana syarikat terbabit bersetuju menambah kapasiti penerbangan terutama ke Sabah, Sarawak dan Labuan pada musim perayaan utama seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Krismas.
“Bagi memastikan tiket lebih mampu milik, kerajaan menyediakan subsidi bagi tiket penerbangan sehala yang melebihi RM499, berbanding RM599 sebelum ini, dengan tempoh subsidi dilanjutkan daripada tiga hari kepada empat hari sebelum perayaan,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Negara.
MOT berkata Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air juga menawarkan tambang tetap bagi penerbangan lewat malam, yang dijangka membantu mengurangkan kos tiket bagi penumpang yang ingin pulang ke kampung halaman.
“Kerajaan turut menambah baik bantuan subsidi tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam, dengan kenaikan nilai baucar digital daripada RM300 kepada RM400 untuk tahun 2025.
“Bantuan ini diberikan dalam bentuk credit shell, yang boleh ditebus untuk pembelian tiket bagi penerbangan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya.-WILAYAHKU