Berita

Kerajaan bakal tambah baik penyampaian dasar baharu

KERAJAAN ambil iktibar daripada suara rakyat di peti undi termasuk di Sungai Bakap. - Gambar hiasan
- Diterbit 12 Julai 2024 9:40 AM MYT

ISU Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap terus menjadi bualan biarpun ia telah berakhir minggu lalu. Segelintir mendakwa kononnya kerajaan tidak dapat menerima kenyataan atas kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) pada PRK lalu.

Malah tuduhan tidak berasas tersebut turut mengatakan penyasaran subsidi diesel merupakan faktor utama yang membawa kepada kekalahan tersebut.

Tidak kurang juga ramai yang tetap menyokong serta mempertahankan segala polisi Kerajaan Perpaduan walaupun menerima kritikan.

Hakikatnya kerajaan sentiasa akur dengan pilihan rakyat malah dalam masa yang sama banyak faktor yang perlu diteliti dalam PRK tersebut.

Untuk makluman, langkah dasar penyasaran subsidi diesel merupakan gambaran manifestasi rakyat yang disuarakan melalui PRK Sungai Bakap adalah antara perkara yang akan diteliti dalam bedah siasat (post-mortem) PRK tersebut.

Memetik kenyataan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pasukannya masih meneliti data bagi memperolehi gambaran menyeluruh keputusan berkenaan.

“Kita mengambil iktibar daripada suara rakyat di peti undi termasuk di Sungai Bakap, kita sedar tarikh undi (PRK Sungai Bakap) kurang sebulan daripada penyasaran subsidi diesel, untuk mengatakan ia berkait dengan satu dasar semata-mata atau beberapa dasar, ini yang akan kita lihat dalam bedah siasat ini,” katanya pada majlis perasmian NADI di Kampung Dato’ Ahmad Said, Tambahan 2, Ipoh baru-baru ini.

Tambahnya, beberapa pengubahsuaian akan dilaksana melibatkan penyampaian maklumat mengenai dasar-dasar baharu kerajaan agar lebih difahami rakyat pelbagai segmen atau latar belakang.

Terdahulu, PRK Sungai Bakap calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail memenangi kerusi berkenaan dengan memperoleh 14,489 undi menewaskan pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi.

Keputusan tersebut turut menimbulkan dakwaan pelbagai pihak yang menyatakan ia manifestasi rakyat yang menolak dasar-dasar kurang popular Kerajaan Perpaduan termasuk langkah penyasaran subsidi diesel. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas