PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan komited untuk mengotakan janji reformasi meskipun perlu melaksanakan langkah sukar dan tidak popular.
Beliau berkata ini penting demi memastikan kedudukan fiskal yang lebih baik, mengurangkan defisit dan menjamin kemampanan negara berkekalan.
“Saya tegaskan kerajaan sedang meneliti pelbagai kaedah untuk mempermudah urusan perniagaan, permodalan, tenaga mahir dan perkongsian teknologi dengan negara jiran.
“Selain sedia memberikan insentif percukaian kepada syarikat yang terbabit dalam aktiviti berimpak tinggi,” katanya di Facebook.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada majlis The Edge Billion Ringgit Club 2024.
Katanya, kehadirannya itu untuk bersama meraikan pemain-pemain dunia korporat yang mencatat kejayaan membanggakan dan menyumbang kepada kerancakan pembangunan ekonomi.
Dalam majlis itu, Anwar turut menggesa sektor korporat perlu menggunakan kesempatan tatkala Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun depan untuk menonjolkan gabungan itu sebagai tarikan pelaburan dan perdagangan global.
Katanya, keputusan kerajaan untuk menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) juga membolehkan Malaysia meneroka pasaran baharu serta meningkatkan peluang pelaburan dan perdagangan, khususnya terkait sektor minyak sawit, getah serta elektronik.
“Saya turut beri jaminan perkhidmatan awam yang lebih cekap, tegas dan telus, selain mengurangkan insiden kecurangan dan rasuah dalam kalangan penjawat awam, sekali gus mewujudkan ekosistem yang lebih baik untuk kumpulan perniagaan,” katanya.
Anwar turut menggesa sektor korporat untuk bersama-sama kerajaan dalam usaha melawan rasuah yang merosakkan etika, nilai, budaya, masyarakat dan pertumbuhan ekonomi.
“Jangan sesekali kita lupakan kisah tragis empayar hebat Rom yang runtuh akibat rasuah.
“Ini adalah masanya sektor swasta bekerjasama dengan kerajaan untuk mengangkat darjat dan martabat rakyat dan generasi masa depan, serta memastikan setiap rakyat di negara ini dapat menikmati kehidupan yang bermaruah,” katanya. – WILAYAHKU