Fokus

Keracunan makanan: Sesiapa sahaja berdepan risiko

Gambar hiasan
- Diterbit 9 Julai 2024 3:18 PM MYT

Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan daripada 600 juta penduduk di seluruh dunia, satu daripada 10 orang jatuh sakit setiap tahun akibat daripada makan makanan yang tercemar.

Malah seramai 420,000 orang telah mati setiap tahun di mana dianggarkan 168,000 (40 peratus) daripadanya adalah kanak-kanak di bawah umur lima tahun akibat penyakit yang disebabkan oleh pencemaran makanan.

Pegawai Perubatan Medical Mythbusters Malaysia, Lt Kol (Dr) Rusyainie Ramli berkata kaedah penyimpanan makanan yang tidak betul dan membiarkan makanan terdedah dalam jangka masa yang lama juga boleh menjadi punca.

“Makanan yang berada dalam keadaan suhu bilik sepatutnya dinikmati dalam masa empat jam sementara yang sudah dimasak, jika disimpan dalam peti sejuk bahagian chiller boleh bertahan sehingga tiga ke lima hari tetapi selepas dipanaskan mesti dihabiskan atau dibuang.

“Manakala yang disejukbekukan, boleh tahan selama satu bulan tetapi selepas dinyahbeku dan dipanaskan, kena juga buang kalau masih belum habis bagi mengelakkan bakteria membiak dalam makanan tersebut.

“Disebabkan itu, cara pengendalian makanan amat penting dan seseorang peniaga perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan pengendalian makanan bagi meminimakan risiko mencemari makanan jualan mereka,” ujarnya.

Rusyainie berkata kes keracunan makanan boleh berlaku pada setiap peringkat umur tanpa mengira usia dengan beberapa simptom yang jelas.

“Pesakit akan mengalami simptom seperti cirit-birit, muntah dan sakit abdomen dalam masa enam jam selepas makan makanan yang dicemari Salmonella dan boleh berlarutan sehingga empat ke tujuh hari manakala mereka yang keracunan akibat bakteria B cereus akan loya dan muntah dalam tempoh 30 minit hingga lima jam selepas mengambilnya dan kebiasaannya simptom akan hilang dalam 24 jam.

“Justeru, amat penting memastikan badan berada dalam keadaan optimum dan mereka yang mengalami keracunan makanan perlu menggantikan semula cairan badan yang hilang menerusi cirit-birit atau muntah.

“Selain itu, mereka juga perlu simpan makanan yang tercemar untuk pemeriksaan selanjutnya oleh pihak berkuasa daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Jangan dibuang.

“Pastikan tiada orang lain makan makanan yang disyaki tercemar dan maklumkan segera kepada pejabat kesihatan daerah terdekat,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Rusyainie berkata mencegah lebih baik daripada merawat dan terdapat beberapa langkah yang pengendali makanan boleh amalkan bagi mengelakkan berlakunya kes keracunan makanan ini sama ada di rumah atau premis perniagaan.

“Pengendali makanan perlulah memastikan dirinya dan persekitaran sentiasa berada dalam keadaan bersih, basuh tangan setiap kali selepas ke tandas, basuh dan sanitasi permukaan serta peralatan yang digunakan untuk menyediakan makanan dan pastikan kawasan dapur bebas dari serangga, haiwan perosak dan binatang lain.

“Seterusnya sentiasa asingkan makanan mentah dan yang sudah dimasak dengan menggunakan peralatan yang berasingan seperti pisau dan papan pemotong untuk makanan mentah serta simpan makanan mentah dan yang telah dimasak dalam bekas bertutup dan berasingan bagi mengelakkan jangkitan silang.

“Selain itu, pastikan makanan dimasak dengan sempurna, simpan makanan yang dimasak pada suhu yang betul, elakkan menyimpan makanan yang telah dimasak melebihi empat jam di dalam suhu bilik, bahan mentah mestilah segar dan dibasuh bersih sebelum digunakan, terutamanya jika dimakan begitu saja seperti ulam-ulaman dan jangan gunakan makanan yang telah tamat tempoh.

“Paling penting buat pengguna di luar sana adalah sentiasa memilih tempat yang bersih apabila makan di luar,” kongsinya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas