Berita

Keputusan penempatan 2,611 guru kontrak perkhidmatan dikeluarkan 3 petang hari ini

PENEMPATAN baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan pengambilan khas guru. Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 15 Julai 2022 8:27 AM MYT

KEPUTUSAN penempatan bagi 2,611 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41 lantikan secara kontrak perkhidmatan (CoS) boleh disemak mulai 3 petang hari ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Menerusi catatan di Facebook rasmi beliau, Radzi berkata semakan penempatan boleh dibuat melalui https://egraduan.moe.gov.my.

Beliau berkata penempatan baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan pengambilan khas guru secara sekali pengambilan (one-off) yang telah dilantik dan ditempatkan di sekolah adalah seramai 16,381 orang.

“Sepertimana yang telah diarahkan, penempatan guru baharu ini telah mengambil kira permohonan pertukaran guru-guru yang memenuhi syarat pertukaran, khususnya kekosongan jawatan dan opsyen mata pelajaran,” katanya.

Radzi berkata Kementerian Pendidikan sentiasa berikhtiar sehabis baik bagi memastikan perkara berkaitan pertukaran dan penempatan guru dapat dilaksanakan sebaiknya.

“Selamat memulakan tugasan buat guru-guru baharu ini yang akan melapor diri di sekolah masing-masing pada 25 Julai 2022.

“Kepada guru-guru baharu, tahniah saya ucapkan. Laksanakan amanah dan berikan khidmat yang terbaik demi pendidikan anak-anak generasi pewaris negara,” katanya. — BERNAMA 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas