Berita

Keprihatinan Annuar Musa, kenangan manis buat penjaja

|Che Nah bersyukur selepas penantian 35 tahun menjadi kenyataan
- Diterbit 30 Disember 2020 1:39 AM MYT

TIADA yang lebih manis buat para penjaja, melainkan hasrat dan impian mereka tercapai dan dipermudahkan. 

Begitulah ‘mimpi’ para peniaga kecil seperti penjaja atau peniaga gerai yang akhirnya menjadi kenyataan apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa memudahkan urusan bisnes kecil-kecilan mereka.

Tahun 2020 menyaksikan banyak kenangan manis tercipta apabila nasib mereka terbela dengan keprihatinan Annuar.

Paling tular, pada Jun lalu penantian Minah Awang atau Che Nah selama 35 tahun untuk berniaga secara sah berakhir apabila menerima lesen perniagaan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Annuar Musa mengambil keputusan untuk menyerahkan sendiri Lesen Penjaja Beredar itu  kepada Che Nah di lokasi dia berniaga di Bukit Damansara.

Che Nah bersyukur selepas penantian 35 tahun, impian menjadi kenyataan.

Terharu dengan perkhabaran gembira itu, Che Nah sujud syukur selepas penantian 35 tahun menjadi kenyataan.

Bukan itu sahaja, keprihatinan Annuar turut menjadi perhatian apabila menghadiahkan sebuah ‘gerai Mary’ kepada peniaga kurang upaya (OKU), Mohamad Nor Abdullah atau Dekk Mat, pada November lalu.

Malah Annuar turut meluangkan masa memberikan kata-kata semangat kepada Dekk Mat di gerai Nasi Lemak Bujang diusahakannya di Amber Busssines Plaza Cheras.

Annuar menyifatkan Dekk Mat seorang yang cekal meskipun tiada kedua-dua tangan namun mampu mencari nafkah sendiri dan bersemangat untuk berdikari.

Gerai Mary dinamakan inspirasi dari kisah Mary Mariamah, ibu tunggal yang menjaja nasi lemak dengan menolak troli selepas hilang pernigaan, sebelum dibantu Kementerian Wilayah Persekutuan.

Selain itu, kisah menyayat hati apabila sembilan gerai perniagaan di Desa Pandan, Kuala Lumpur musnah dalam kebakaran pada Ogos lalu jugak tular.

Tidak boleh duduk senang dengan apa yang menimpa mereka, Annuar turun padang melihat sendiri apa yang berlaku.

Memahami situasi 11 peniaga yang menjadi mangsa kebakaran untuk berniaga demi kelangsungan hidup, Annuar menempatkan mereka di tapak sementara yang berhampiran supaya mata pencarian mereka tidak terputus.

Annuar turut menyerahkan sumbangan RM1000 daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP). 

Kedai (yang terlibat kebakaran) juga turut dibangunkan semula supaya lebih selamat, bersih dan teratur.

Semoga segala usaha dan bantuan yang diusahakan oleh Annuar Musa terus memberi manfaat buat para penjaja sekaligus membebaskan mereka dari belenggu kemiskinan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas