Artikel

Keperluan atau tuntutan gaya hidup?

WARGA kota perlu mengutamakan berbelanja untuk keperluan yang sebenar bukan memenuhi tuntutan gaya hidup. – Gambar hiasan
- Diterbit 11 November 2024 7:33 PM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

BERBELANJA adalah salah satu perkara yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan moden. Malah itulah juga yang menjadi salah satu pemangkin yang menggiatkan kitaran ekonomi di sesebuah negara. Lalu secara teorinya semakin tinggi kadar berbelanja maka semakin besarlah sumbangan pada peningkatan ekonomi di negara berkenaan.

Bagaimanapun tidak semua teori ekonomi itu memberi kebaikan kepada semua golongan atau individu. Misalnya kepada golongan warga kota dalam kelompok B40 dan ke bawah, berbelanja adalah satu beban yang terpaksa ditanggung selain memenuhi keperluan lain seperti kediaman, ultiliti dan pengangkutan.

Dalam keadaan yang mendesak seperti itu, amalan berbelanja dengan berhemah menjadi amat penting bagi memastikan pengurusan kewangan sesebuah keluarga stabil dan terjamin. Salah satu daripada amalan penting dalam berbelanja adalah membezakan antara keperluan asas dan keinginan semata-mata.

Kegagalan mengawal keinginan dalam berbelanja memberikan kesan yang besar dalam pengurusan kewangan sesebuah keluarga. Hal itu kerana keinginan selalunya sekadar mengikut persekitaran sosial, sementara keperluan pula sesuatu yang mesti diadakan demi kelangsungan hidup.

Disebabkan hal itu, warga kota terutama kelompok B40 dan ke bawah perlu mengutamakan belanja untuk keperluan yang sebenar. Keperluan itu adalah amat berbeza dengan sesuatu yang sekadar memenuhi tuntutan gaya hidup yang dicetuskan oleh persekitaran sosial semasa.

Prinsipnya mudah sahaja, yang pertama sekali adalah memastikan kelangsungan hidup dengan menyediakan keperluan asas – makanan, pakaian, tempat tinggal dan pendidikan. Perkara itu tidak boleh diabaikan sama sekali. Selepas hal itu mencukupi atau berlebihan, bolehlah memikirkan tentang gaya hidup yang di luar daripada keperluan asas.

Memahami keutamaan dalam berbelanja adalah kunci utama mengelak berlakunya krisis kewangan, pembaziran atau penyalahgunaan wang. Dalam kata lain maksud menyalahgunakan wang itu adalah berbelanja pada hal-hal yang tidak penting, sedangkan masih bergelut dalam memenuhi keperluan yang asas.

Pengguna perlu membandingkan harga dan mengesan kecenderungan penipuan yang mungkin berlaku semasa berbeanja. Selain itu, berusaha mencari alternatif harga yang lebih murah tetapi berkualiti seperti bahan makanan, pakaian dan barang keperluan lain.

Bijak berbelanja juga membawa maksud mahir merancang dengan cara memastikan wang yang diperoleh itu sama ada secara bulanan atau harian dapat digunakan dengan sebaik-baiknya. Tidak terpengaruh dengan iklan atau promosi yang digerakkan dengan cara yang amat memukau dan menjurus pada konsumerisme.

Konsumerisme adalah satu fenomena sosial di mana masyarakat dipengaruhi supaya cenderung mengutamakan pemilikan benda sebagai lambang kebahagiaan dan kejayaan. Hal itu telah dianggap suatu yang utama, sedangkan sebenarnya merupakan gaya hidup dalam kehidupan moden.

Salah satu aspek utama yang menjadi pemangkin konsumerisme adalah ledakan industri dan berkembangnya perdagangan di peringkat global. Dengan kemajuan teknologi, jenama dari pelbagai negara dapat diakses dan dibeli dengan mudah.

Promosi yang yang diadakan secara amat menarik dan kreatif melalui media sosial juga turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan minat sekali gus permintaan terhadap barangan tertentu. Padahal promosi yang mempesona itu bukanlah tanda aras kualiti dan keperluan utama sesuatu barangan.

PERANGKAP KEWANGAN

Disebabkan hal itu banyak juga yang membiarkan diri terbenam dan lemas dalam perlumbaan yang dicetuskan oleh konsumerisme. Kesannya individu berkenaan cenderung terperangkap dalam masalah kewangan yang serius seperti terjebak dengan hutang.

Apa lagi dalam keadaan yang sangat mudah untuk berhutang – tidak kira dengan memiliki kad kredit, pinjaman peribadi atau pinjaman sewa beli kenderaan yang di luar kemampuan kewangan. Memudahkan pinjaman tidak sahaja memberikan kesan positif, masa yang sama sekiranya disalahguna boleh memberikan kesan yang amat buruk.

Suatu yang perlu diingat adalah terdapat berbagai-bagai kemudahan teknologi untuk mengalirkan wang keluar yakni berbelanja, padahal saluran yang membawa wang masuk sebagai sumber pendapatan pula menjadi semakin sedikit dan sempit. Mudah berbelanja itu mendorong berlakunya konsumerisme dalam kalangan masyarakat.

Sekalipun daripada satu sudut konsumerisme mungkin membawa faedah melonjakkan kuasa membeli sekali gus menjana ekonomi, tetapi sebagai individu kita perlu melihat kesan negatifnya. Faedahnya kepada golongan peniaga dan pemilik industri, tetapi tidak kepada golongan yang berpendapatan rendah yang memaksa diri untuk berbelanja pada hal tidak penting.

Disebabkan itu, amalan bijak berbelanja adalah suatu yang amat penting dalam memastikan kesejahteraan kewangan terutama golongan yang berpendapatan rendah. Kesedaran terhadap konsumerisme mampu menyumbang pada pengurusan kewangan yang baik.

Gaya hidup bukanlah satu keperluan, sebaliknya merupakan pola perilaku yang mencakupi aspek-aspek seperti cara berpakaian, makanan, hobi dan hal-hal lain yang dipengaruhi oleh persekitaran sosial semasa. Gaya hidup digerakkan oleh kapitalis yang menekankan seolah-olah pemilikan benda adalah tanda aras kejayaan dan kebahagiaan.

Kapitalis menggiatkan promosi untuk memastikan barangan yang dihasilkan dapat menembusi ke segenap lapisan pengguna, termasuk kepada golongan yang kurang mampu. Kaedahnya dengan merancang strategi pemasaran terhadap barangan atau perkhidmatan untuk melipatgandakan keuntungan.

Iklan pula sering kali menjadi senjata untuk mempengaruhi sudut pandangan pengguna terhadap barangan yang tidak perlu seolah-olah satu keperluan. Bukan suatu yang asing apabila golongan selebriti atau pempengaruh (influencer) ditonjolkan sebagai suri teladan untuk memperagakan sesuatu barangan yang membawa mesej gaya hidup.

Hal itu cenderung menjadikan golongan yang kurang mampu terpengaruh dengan ‘gambaran kehidupan’ yang diperagakan di media. Malah seolah-olah itulah kehidupan yang sebenarnya, sedangkan hakikatnya tidak lebih dunia ciptaan untuk mempengaruhi masyarakat berbelanja.

Oleh itu, adalah penting untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan daripada terjerumus dalam gaya hidup yang tidak sihat daripada sudut kesihatan dan juga menjejaskan perancangan kewangan. Salah satu caranya dengan meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai makna sebenar kebahagiaan hidup.

Bukan semua kebahagiaan dan kejayaan itu diukur melalui suatu yang bersifat benda. Percaya kepada diri, kesihatan mental dan fizikal, kestabilan emosi, hubungan sosial yang baik serta pencapaian dalam bidang keilmuan memainkan peranan dalam memberi kebahagiaan dan kejayaan hidup.

Malah kita juga perlu bersikap kritis apabila berdepan dengan iklan atau promosi yang selalu mempengaruhi ketika hendak berbelanja. Mengetahui perbezaan antara keperluan dan keinginan serta mampu membuat keputusan bijak dalam berbelanja adalah langkah primitif yang penting mengelak daripada perangkap konsumerisme.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas