Berita

Kepengerusian ASEAN 2025: Malaysia libatkan GCC, China

Foto: Jabatan Penerangan Malaysia
- Diterbit 15 Oktober 2024 2:00 PM MYT

SEBAGAI Pengerusi ASEAN pada tahun depan, Malaysia akan membawa negara-negara anggota itu untuk meneroka kawasan baru dalam lonjakan ekonomi melibatkan dunia Arab selain mengukuhkan kerjasama dengan China.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sejarah untuk ASEAN yang pertama kali akan menganjurkan sidang 10 negara anggota bersama Majlis Kerjasama Teluk (GCC) + China.

“Ini termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain dan Kuwait plus China. China juga akan bersama. Ini hanya berlaku tahun depan sebagai permulaan bagi ASEAN.

“Selain meneruskan perjumpaan berikutnya ASEAN dengan rakan dialog seperti China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia, New Zealand, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata, penekanan Malaysia khususnya apabila menjadi negara Kepengerusian ASEAN adalah untuk melonjak serta meningkatkan kekuatan ekonomi rantau ini.

Katanya, ASEAN melibatkan hampir 700 juta penduduk dan kekuatan ekonominya mencapai lebih AS$2 trilion.

“Malah keseluruhannya kalau ikut potensi pada 2023, pencapaian ASEAN adalah AS$3.8 trilion dan nilai perdagangan AS$3.5 trilion.

“Jadi kalau kita boleh jalin kerjasama maknanya keupayaan kita tentu lebih meningkat kerana penekanan Malaysia ialah transformasi digital termasuk Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) ASEAN, itu keutamaan kita,” katanya.

Tambah beliau, keutamaan seterusnya adalah soal perjanjian perdagangan bebas ASEAN dan rakan dialog termasuk EU selain rangkaian tenaga grid yang disebut ASEAN Grid.

“Ini akan memberikan lonjakan kekuatan ekonomi. Dan saya percaya dengan penyertaan Timor Leste yang sedang kita usahakan, ASEAN menjadi 11 (negara anggota) dan kekuatan ekonominya tentu jauh lebih meningkat,” katanya.

Dalam pada itu Anwar berkata, beberapa negara ASEAN mengambil keputusan sama seperti Malaysia untuk melihat potensi menyertai BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas