Berita

Kepengerusian ASEAN 2025: Kami hargai suara Malaysia

- Diterbit 2 Disember 2024 3:31 PM MYT

BERCAKAP mengenai pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN menjelang 2025, Duta Palestin ke Malaysia, WALID ABU ALI menzahirkan harapan cukup tinggi buat negara ini untuk terus mendukung perjuangan Palestin.

Selaku Pengerusi ASEAN, bagi Walid, sudah tentu suara Malaysia akan terus berkumandang di pentas dunia untuk meyakinkan masyarakat antarabangsa kepada sokongan terhadap Palestin, yang sudah memasuki tempoh cukup panjang diganyang rejim zionis.

Malah beliau melihat dunia seakan-akan hipokrit apabila mampu mencapai gencatan senjata antara Rusia dan Ukraine serta antara Israel dan Lubnan, namun hanya mampu berterusan menjadi penonton kepada kekejaman zionis di Gaza.

Kepada wartawan Wilayahku, METRA SYAHRIL MOHAMED, Walid menyatakan penegasan mahu masyarakat antarabangsa bersatu hati menekan zionis dan mengheret Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant ke muka pengadilan.

Bagaimanakah Palestin melihat potensi pengaruh Malaysia di ASEAN dalam menangani isu-isu global, terutamanya isu Palestin, semasa kepimpinannya pada 2025?

Saya mulakan dengan mengesahkan pendirian Malaysia dan sokongannya terhadap Palestin tidak boleh dipersoalkan. Sebagai Duta, saya mengharapkan semua negara Islam dan Arab terus menyokong perjuangan Palestin, seperti ditunjukkan Malaysia. Di antara negara-negara Islam dan Arab, Malaysia konsisten menolak sebarang hubungan diplomatik dengan Israel, selagi mana hak-hak Palestin dan negara Palestin yang merdeka itu tidak diiktiraf. Ini satu penghargaan yang kami banggakan.

Pada 2025, Malaysia akan mengambil alih Kepengerusian ASEAN. Kami tidak meminta Malaysia melakukan lebih daripada apa yang mereka lakukan sekarang, tetapi kami berharap Malaysia menggunakan pengaruhnya meyakinkan negara-negara yang mungkin malu atau ditekan, untuk menyokong perjuangan Palestin. Dalam kalangan ASEAN, ada yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan mereka cuba untuk bersikap neutral. Malaysia boleh menggunakan pengaruhnya dalam meningkatkan sokongan terhadap perjuangan keadilan Palestin. Dan sudah tentu, jika kita mengikuti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaannya, serta ucapannya di Riyadh, di Kaherah, penyertaannya di Lima, mesej Malaysia jelas. Beliau mahu komuniti antarabangsa berlaku adil terhadap Palestin dan mengenakan sekatan ke atas Israel di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

 

Apakah langkah yang boleh diambil Malaysia untuk memastikan nasib Palestin kekal menjadi keutamaan dalam perbincangan antarabangsa?

Bukan setakat ASEAN, tetapi dalam forum Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), PBB, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atau Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Malaysia boleh memainkan peranan yang kuat dengan mempengaruhi dunia bersolidariti terhadap Palestin. Apatah lagi dengan pengaruh Malaysia untuk dunia mendukung keputusan terbaharu ICJ mengheret Netanyahu dan Gallant serta semua kepimpinan ketenteraan Israel ke muka pengadilan.

Negara-negara yang menyokong perjuangan Palestin boleh mengambil tindakan serius terhadap Israel jika mereka meneruskan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.

Sejak kekejaman dilakukan zionis pada 7 Oktober 2023, komuniti antarabangsa gagal menghentikan kekejaman Israel. Jumlah korban dalam kalangan rakyat Palestin semakin meningkat, terutamanya di Gaza. Di Tebing Barat, peneroka haram Israel terus menyerang Masjid Al-Aqsa, merampas wilayah Palestin dengan sokongan polis dan tentera Israel.

 

Bagaimana dengan sikap masyarakat antarabangsa?

Serangan Israel terhadap Lubnan, menurut media, mereka hampir mencapai gencatan senjata. Ini menunjukkan jika mereka berjaya mencapainya dan perjanjian damai dengan Lubnan, dari perspektif kami sebagai rakyat Palestin, ini akan meninggalkan Gaza sendirian dan membiarkan Palestin berjuang sendiri dalam menghadapi genosid Israel. Jadi jika mereka berjaya, mengapa mereka gagal mencapainya di Gaza dan seluruh wilayah Palestin?

Jika komuniti antarabangsa mampu menekan Rusia dan Ukraine, mengapa mereka tidak boleh melakukan perkara sama dalam isu melibatkan Palestin? Secara keseluruhan langkah-langkah dua darjat ini meninggalkan Palestin dan rakyat Palestin sendirian sementara komuniti antarabangsa terus menyaksikan pembunuhan rakyat Palestin yang tidak bersalah. Hampir 75 peratus penduduk Gaza terpaksa meninggalkan kediaman mereka dan dengan cuaca sejuk ketika ini, mereka menderita dan menjadi gelandangan.

 

Apakah kepentingan ASEAN kepada Palestin?

Bagi saya ASEAN, kebanyakan pandangannya tertumpu kepada forum ekonomi. Dengan kepimpinan Malaysia, negara-negara ASEAN boleh mengambil peluang ini untuk menghentikan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan di wilayah Palestin. Ada negara ASEAN mempunyai hubungan baik dengan dunia barat terutamanya Amerika Syarikat dan Eropah. Mereka boleh memainkan peranan atau menjadi pengantara, gunakan pengaruh untuk bersama menyokong Palestin.

 

Bagaimana hasil yang dizahirkan pada Sidang Kemuncak Arab-Islam baru-baru ini untuk menyokong Palestin?

Secara teorinya hasil sidang kemuncak ini adalah sangat baik. Namun adakah cadangan atau resolusi yang dihasilkan daripada sidang kemuncak ini boleh dilaksanakan? Adakah ia akan menemukan satu mekanisme untuk mempunyai satu gerakan antarabangsa melaksanakan resolusi tersebut di lapangan? Adakah komuniti antarabangsa secara amnya akan menyokong pelaksanaan resolusi ini?

Mesej Malaysia, mesej dibawakan Anwar adalah jelas, mari kita ambil tindakan dengan mendakwa Israel dan menghentikan bekalan peralatan ketenteraan kepada Israel. Komuniti antarabangsa boleh mengambil tindakan serius, tetapi adakah mereka akan melakukannya? Itulah soalan yang perlu dijawab.

Setakat ini Israel di bawah Netanyahu langsung tidak mengendahkan resolusi daripada sidang kemuncak itu. Mereka terus melakukan apa sahaja yang mereka mahu terhadap Palestin. Jadi dari sudut pandang Israel, resolusi ini tidak bermakna.

Apakah keutamaan kami? Pertamanya adalah menghentikan kekejaman Israel, mendesak komuniti antarabangsa menekan Israel menghentikan serangan demi serangan terhadap rakyat Palestin yang tidak bersalah.

Keduanya, memudahkan koridor kemanusiaan bagi membolehkan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan di Gaza. Ketika ini Israel mengawal kuantiti bantuan untuk sampai ke Gaza. Rafah telah ditutup sepenuhnya. Sebahagian daripada bantuan ini telah tamat tempoh kerana terhalang lama untuk dihantar ke Gaza. Menjadi tanggungjawab semua penyedia bantuan kemanusiaan memberi tekanan kepada Israel bagi membolehkan bantuan sampai kepada penerima yang sepatutnya mendapat manfaat di Gaza.

 

Apakah cabaran utama dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza?

Melalui semua institusi antarabangsa, melalui negara jiran, Mesir dan Jordan, saya tahu mereka sedang berusaha semaksimum mungkin. Kami masih melihat negara jiran boleh memainkan peranan dan memudahkan lebih banyak bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza. Cuaca di Gaza ketika ini sangat buruk. Malah khemah-khemah yang menampung rakyat Palestin, banyak yang rosak akibat angin kencang. Hujan lebat serta banjir di Gaza menyebabkan penderitaan yang lebih besar.

 

Pintu Rafah ditutup, jadi bagaimana proses bawa masuk bantuan-bantuan kemanusiaan?

Ada tiga pintu lain tetapi semuanya berada di dalam kawasan Israel. Sejak pintu Rafah ditutup, Israel mengawal jenis bantuan yang boleh dibawa masuk ke Gaza.

 

Israel menggunakan Hamas dan Hezbollah sebagai alasan menyerang Gaza. Benarkah?

Strategi Israel ini, mereka menggunakan kebuluran sebagai hukuman kepada rakyat Palestin. Itu mentaliti mereka. Mereka percaya jika rakyat Palestin berterusan menderita, kebuluran, itu membolehkan mereka mencapai matlamat. Tetapi untuk tempoh lebih setahun ini, Israel gagal mencapai objektif mereka. Propaganda mereka kepada barat adalah mahu membebaskan tahanan Palestin tetapi apakah mereka melakukannya? Tidak. Propaganda mereka mahu serang Gaza atas alasan Hamas, apakah mereka berjaya mengekang Hamas? Tidak.

 

Mesej utama ingin disampaikan Palestin kepada Malaysia?

Teruskan menyokong perjuangan Palestin. Malaysia boleh memainkan peranan positif dalam ASEAN, OIC, NAM dan semua forum meyakinkan mereka yang selama ini mempersoal sokongan terhadap Palestin untuk terus mendukung perjuangan kita. Mesej saya kepada rakyat Malaysia, mereka pasti akan datang, lambat-laun, kita akan menyambut mereka datang ke Palestin yang merdeka, kita akan bersolat bersama di dalam Masjid Al-Aqsa, insya-Allah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas