Singgah

Kenali peribadi Raja kita

- Diterbit 9 Ogos 2024 12:10 PM MYT

TANGGAL 20 Julai 2024 seluruh rakyat menyaksikan istiadat pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan pemerintahan baginda pada 30 Januari 2024.

Justeru‚ bersempena istiadat tersebut‚ Jabatan Muzium Malaysia selaku agensi pelaksanaan telah melaksanakan Pameran Raja Kita untuk memberi peluang kepada orang ramai terutamanya pelancong mengenali peribadi Yang di-Pertuan Agong dan juga Raja Permaisuri Agong selain tatacara istiadat.

Menurut Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Muzium Malaysia‚ Miti Fateema Sherzeella Mohd Yusoff‚ Pameran Raja Kita merupakan salah satu program yang dimasukkan sebagai salah satu daripada tujuh acara bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

“Sebanyak 272 koleksi dipamerkan di Pameran Raja Kita di dua buah galeri yang dibahagikan kepada segmen Persekutuan dan Negeri.

“Antara koleksi yang dipamerkan di segmen Persekutuan adalah Regalia Persekutuan seperti Cogan Alam dan Cogan Agama‚ kalung dan gendik koleksi dari Pejabat Penyimpanan Mohor Besar seperti kertas undi yang digunakan oleh  baginda-baginda Tuanku semasa pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong setiap lima tahun sekali‚ dokumen Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 serta manuskrip menerangkan dokumen undang-undang yang telah digunakan dari zaman Kesultanan Melaka seperti Undang-Undang Laut Melaka.

“Manakala koleksi segmen Negeri merujuk kepada sejarah dan kebudayaan Negeri Johor seperti manuskrip Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895‚ koleksi peribadi yang menunjukkan minat dan hobi baginda seperti kereta Morgan‚ motor Harley Davidson dan karya seni Raja Permaisuri‚” katanya yang ditemui ketika Pameran Raja Kita di Muzium Negara.

Miti berkata antara koleksi masterpiece yang dijangka mendapat perhatian adalah Mahkota Kerajaan dan Mahkota Permaisuri yang digunakan semasa upacara kemahkotaan baginda pada tahun 2015 dan Regalia Persekutuan yang merujuk kepada bermulanya sejarah pembinaan negara bangsa menerima demokrasi berparlimen di samping konsep beraja yang sedia ada.

Berkongsi lanjut‚ Miti berkata pameran yang dianjurkan juga turut menjelaskan peranan dan kedudukan Institusi Yang di-Pertuan Agong dan konsep Raja Berperlembagaan.

“Ia juga bagi memperkukuh semangat cinta akan negara dan taat setia tidak berbelah bahagi kepada negara dan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Pameran ini juga memaparkan kepentingan Institusi Yang di-Pertuan Agong dan konsep Raja Berperlembagaan sebagai tonggak kedaulatan‚ perpaduan‚ keadilan‚ keharmonian dan pembangunan negara selain mempertahankan kegemilangan dan kedaulatan Institusi Yang di-Pertuan Agong yang diamalkan di negara ini‚” ujarnya.

Tambahnya‚ pelaksanaan pameran ini turut mendapat kerjasama dari pelbagai pihak dan agensi seperti Istana Negara‚ Pejabat SUK Negeri‚ Muzium Diraja Sultan Abu Bakar‚ Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja‚ Universiti Awam dan agensi kerajaan.

Mewakili penganjur utama‚ Miti berharap semoga pameran ini dapat memberikan manfaat dan menyedarkan semua pihak agar tradisi ini terus terpelihara hingga ke generasi akan datang sebagai lambang kedaulatan negara yang memayungi setiap rakyat Malaysia.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya untuk datang ke Pameran Raja Kita bukan sekadar melihat koleksi tetapi untuk mengenali dan memahami institusi beraja dan bagaimana cantiknya sistem pentadbiran dan pemerintahan yang ada di Malaysia.

“Kita ada sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Ini merupakan peluang baik buat rakyat malaysia mempelajari apa itu Raja Berperlembagaan‚” katanya.

Info:

Alamat: Jabatan Muzium Malaysia, Jalan Damansara, 50566 Kuala Lumpur

Waktu: 26 Julai sehingga 29 September 2024 (9 pagi hingga 5 petang)

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas