MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar meminta mana-mana individu termasuk penganjur memilih atau mengenalpasti latar belakang penceramah jemputan sebelum melaksanakan apa jua program.
Beliau berkata ia perlu dilaksana bagi memastikan penyampaian kandungan ceramah itu disampaikan oleh pihak-pihak yang mempunyai asas ilmu pengetahuan.
“Jabatan Hal Ehwal Agama Islam di setiap negeri-negeri termasuklah di Wilayah Persekutuan perlu memainkan peranan penting dengan mengeluarkan prosedur termasuk sijil tauliah bagi membolehkan mereka mengenalpasti status penceramah tersebut.
“Dengan adanya sijil tauliah itu, pihak-pihak penganjur dan masyarakat di luar boleh mengenalpasti asas ilmu serta tahap ilmu mereka.
“Justeru itu, saya mengajak masyarakat di luar sana dalam memilih penceramah ini, pastikan mereka ada tauliah supaya kita hendak pastikan kandungan ceramah yang disampai dalam bulan Ramadan ini sama ada di masjid, surau atau platform sosial media adalah daripada mereka yang mempunyai asas ilmu pengetahuan.
“Dengan itu juga mereka akan sampaikan ajaran Islam yang sebenarnya. Itulah harapan saya kepada penganjur-penganjur dan masyarakat di luar dalam memilih penceramah yang menjadi jemputan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika Majlis Pelancaran Program Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2024M di Dewan Jamuan Masjid Putra, Putrajaya, petang tadi.
Turut hadir, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kadar zakat fitrah di negeri Sarawak masih belum mendapat maklumat lanjut namun kadarnya akan diberitahu dalam masa terdekat.
Terdahulu, Pelancaran Sambutan Program Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan bertemakan ‘Ramadan Sejuta Rahmah’ bertujuan mengumumkan program-program agensi hal ehwal Islam Persekutuan yang akan dijalankan sepanjang bulan Ramadan.
Agensi agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama yang disenaraikan melibatkan Tabung Haji, Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan (JAPENS WP), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Masjid Putra (JAKIM), MTMZA (JAKIM), YaPEIM, YADIM, IKIM dan JAWI.
Antara program-program yang bakal berlangsung sepanjang Ramadan adalah Ceramah Ambang Ramadan, Program Tadarus Al-Quran, Program Kesedaran Berwakaf di Jabatan/Kementerian, Iftar ala Madinah di Karangkraf. – WILAYAHKU