KENAIKAN gaji penjawat awam seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu sokongan moral kepada golongan itu dalam meningkatkan produktiviti kerja.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, ia juga cerminan sikap ambil berat Perdana Menteri terhadap penjawat awam yang sudah 12 tahun tidak menikmati kenaikan gaji.
Malah katanya, kebanyakan penjawat awam merupakan golongan B40 dan berdepan banyak masalah dengan kenaikan kos sara hidup setiap tahun.
“Ini (kenaikan gaji) memberi sokongan moral dan juga menambah baik kepada sara hidup penjawat awam.
“Terima kasih Perdana Menteri yang mengambil berat isu berkaitan penjawat awam. Sudah 12 tahun tak naik gaji dan kita sudah hadapi empat Perdana Menteri.
“Kami amat menghargai jasa baik Perdana Menteri (Anwar) yang memahami kebajikan penjawat awam,” katanya kepada Wilayahku.
Pada Ogos lalu, Perdana Menteri mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus kepada kumpulan pelaksana.
Selepas 12 tahun terikat tanpa semakan, pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) mulai 1 Disember ini.
Ia menyaksikan kira-kira 1.6 juta penjawat awam mendapat pelarasan gaji baharu selepas kali terakhir disemak pada 2013.
Menurut Perdana Menteri, kadar pelarasan gaji yang ditingkatkan melalui SSPA itu dilaksanakan kerana mengambil kira berlaku peningkatan 21.3 peratus terhadap Indeks Harga Pengguna (IHP) dalam tempoh 10 tahun lepas.
Ini terutamanya harga makanan dan minuman yang merupakan keperluan asas, yang turut naik pada kadar 24.8 peratus.
Mengulas lanjut Abdul Rahman berkata, dengan kenaikan tersebut, penjawat awam dinasihatkan supaya pandai mengurus perbelanjaan dalam suasana kos sara hidup yang meningkat ini.
“Kalau dulu kita tiada Internet (termasuk perkhidmatan jalur lebar di kediaman). Kini ia satu keperluan untuk pendidikan anak-anak dan tugas yang memerlukan talian Internet.
“Sekarang kena pandai berjimat termasuk penggunaan sumber tenaga di kediaman masing-masing,” katanya.
Beliau juga mahu penjawat awam meningkatkan produktiviti kerja dan mengelak daripada pekara-perkara yang mudah dikritik khususnya oleh warganet.
“Contohnya, pagi-pagi jangan minum terlalu lama, buat kerja dengan baik. Perkhidmatan di kaunter juga perlu ditingkatkan dan kena mahir dengan teknologi-teknologi baharu,” katanya.
Selain itu tegasnya, penjawat awam perlu menjadikan ruang kerja sentiasa harmoni.
Seperkara lain katanya, kenaikan gaji penjawat awam ini juga dapat meningkatkan atau membantu mikroekonomi, kedai-kedai runcit dan perniagaan kecil-kecilan yang menjadi tumpuan utama penjawat awam. – WILAYAHKU