KERAJAAN, rakyat dan pemain industri dilihat berkongsi harapan untuk melihat lonjakan prestasi perkhidmatan awam setelah kenaikan gaji bermula bulan ini.
Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr Suhaimee Saahar @ Saabar berkata dalam menguruskan harapan sebaiknya setiap golongan harus bersikap holistik dan realistik kerana ia merupakan satu langkah baharu kerajaan.
“Sudah pasti penjawat awam mestilah memastikan prestasi dan kecekapan dalam perkhidmatan ditingkatkan malah kita juga harus melihat sebarang alat untuk mengukur prestasi penjawat awam, ia bukan sahaja memberi nilai tambah tetapi mestilah mempunyai empati dan ihsan.
“Akhirnya dalam menguruskan sumber manusia, bakat dan kualiti kerja ia harus bersifat realistik dan jangan dibebankan dengan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang menyumbang kepada kesan negatif terhadap motivasi, kepercayaan dan penglibatan kakitangan awam,” katanya kepada Wilayahku.
Beliau berkata dari perspektif rakyat, mereka melihat akan lebih baik kualiti yang ditunjukkan khususnya menjangkakan berlakunya pengurangan birokrasi dalam perkhidmatan awam.
“Ia memerlukan kerjasama yang baik dan erat daripada orang ramai serta memberikan kritikan positif dan konstruktif serta melihat kelemahan untuk diperbaiki bersama.
“Dari segi harapan pemain industri, perkhidmatan awam perlu berusaha mengurangkan birokrasi tetapi suara mereka, kritikan, aduan dan maklum balas mestilah disalurkan ke saluran yang betul supaya tindakan dapat diambil dan dianalisis serta dikaji secara mendalam agar tidak membebankan terutama melibatkan kewangan kerajaan.
“Kita juga melihat mungkin timbul pelbagai soalan berkaitan dengan pemantauan, peningkatan sistem teknologi, reformasi sistem pentadbiran dan aspek utama adalah keterlibatan rakyat dan industri dalam memberikan penilaian tahap perkhidmatan yang diberikan,” katanya.
Suhaimee berkata kerajaan perlu lebih banyak melabur di dalam latihan dan pembangunan teknologi dalam meningkatkan kecekapan tadbir urus perkhidmatan awam khususnya melibatkan kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Things (IoT), Data Raya dan rantaian blok (Blockchain).
“Kerajaan perlu menyokong dengan laksanakan program latihan yang meliputi semua aspek pekerjaan, tahap pekerjaan daripada kumpulan sokongan hingga pengurusan dan bengkel ini perlu ditaja sama ada melibatkan agensi kerajaan atau pihak ketiga yang mempunyai kemahiran di dalam teknologi terutamanya dalam aspek pemindahan dan perkongsian teknologi,” katanya.
Ditanya mengenai mekanisme pemantauan yang akan diperkenalkan untuk menilai prestasi penjawat awam selepas kenaikan gaji ini, Suhaimee berkata beberapa pengukuran boleh diperkenalkan terutamanya ia mesti lebih sistematik dan telus.
“Salah satunya kita lihat bagaimana penilaian prestasi berdasarkan KPI yang setiap penjawat awam ini akan dinilai mengikut pencapaian matlamat dan sasaran tertentu dalam tempoh masa yang ditetapkan dan sasaran kerja ini haruslah ditetapkan untuk memastikan setiap agenda yang ditetapkan oleh pihak kerajaan khususnya tadbir urus, tatakelola dan keputusan yang terhasil daripada perancangan KPI tersebut dapat dizahirkan dalam bentuk yang lebih baharu,” ujarnya – WILAYAHKU