Berita

Kenaikan gaji penjawat awam: Kualiti hidup terjamin

Gambar hiasan
- Diterbit 6 Disember 2024 7:25 PM MYT

LEBIHAN pendapatan yang bertambah dapat mengurangkan kesenjangan pendapatan terhadap kakitangan kerajaan itu sendiri,” ujar Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

Beliau yang merupakan Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS) berkata, tujuan penstrukturan gaji yang dijadualkan pada bulan ini adalah untuk memastikan kualiti hidup kakitangan awam lebih bermakna.

“Kenaikan ini juga sebagai salah satu usaha mengimbangi jurang pendapatan antara mereka yang berada di gred rendah dan tinggi di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata keutamaan adalah kepada golongan berpendapatan rendah.

“Kita juga dapat lihat objektif sedemikian rupa adalah sesuatu yang bagus dan tepat pada waktunya setelah sekian lama kakitangan kerajaan tidak mendapat penyelarasan gaji,” ujar beliau.

Mengulas lanjut berkenaan 688,663 orang atau 52.95 peratus daripada 1.3 juta penjawat awam di seluruh negara belum memiliki rumah, beliau berkata peningkatan pendapatan akan membawa kepada kualiti hidup yang lebih terjamin.

“Saya lihat di sini banyak perkara positif yang akan berlaku apabila adanya kenaikan gaji ini, di mana kakitangan itu sendiri boleh meningkatkan taraf kehidupan mereka ke arah yang lebih baik lagi kerana mereka akan mendapat tunai tambahan setiap bulan.

“Dalam masa sama, dapat dilihat kerajaan sentiasa cakna dalam memelihara kesejahteraan penjawat awam dengan mengumumkan pelbagai manfaat antaranya memperkenalkan Skim Pembiayaan Perumahan Muda untuk penjawat awam muda memohon pembiayaan perumahan sehingga umur 40 tahun.

“Secara teori kalau peningkatan gaji ini digunakan oleh mereka untuk berbelanja maka, jika sebelum ini mereka beli barang  tertentu, lepas ni dapat gaji lebih, mungkin akan beli barang yang berkualiti sedikit selain akan membelanjakan untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan.

“Ini bermakna akan berlaku suntikan fiskal, akan lebih banyak wang masuk ke dalam pasaran. Jadi, apa sahaja yang dapat menyumbang masuk akan meningkatkan kecairan dan merancakkan aktiviti ekonomi,” ujar beliau lagi.

Tambah beliau, tahun hadapan juga dijangka akan berlaku kos perbelanjaan pengguna di peringkat domestik dan kemungkinan akan adanya isu kenaikan harga namun tidaklah terlalu kritikal dan ketara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas