Berita

Kempen Simpan, Daftar dan Menang Tabung Haji tawar hadiah RM400,000

- Diterbit 20 Januari 2021 6:26 AM MYT

LEMBAGA Tabung Haji (TH) meneruskan kempen Simpan, Daftar dan Menang 2021 berikutan sambutan yang menggalakkan dengan tawaran hadiah bernilai RM400,000 berbanding RM300,000 pada tahun lepas.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata kempen itu bertujuan memupuk orang ramai untuk menambah simpanan, mendaftar haji dan menggalakkan pendeposit mendaftar sebagai pengguna THiJARI bagi memudahkan urusan bersama TH.

“Kempen ini adalah salah satu usaha TH mendekati pendeposit muda di samping menggalakkan mereka menabung dan merancang kewangan sejak kecil bagi tujuan untuk menunaikan ibadat haji suatu hari nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Mohd Hasyudeen berkata kempen tersebut yang memasuki tahun kedua penganjurannya masih mengekalkan syarat penyertaan seperti tahun sebelumnya dengan tambahan satu syarat iaitu mendaftar sebagai pengguna THiJARI.

Beliau berkata buat pertama kalinya, TH turut memperkenalkan kempen Simpan, Daftar dan Menang Kelab TaHa untuk kumpulan sasar yang terdiri daripada pendeposit muda TH berumur 17 tahun ke bawah.

Jelasnya, untuk menyertai kempen itu, pendeposit hanya perlu mendeposit sekurang-kurangnya RM1,300 dan mengekalkan Tambahan Simpanan Bersih minimum RM1,300 dalam akaun TH mereka dan mendaftar haji bagi mereka yang belum mendaftar.

“Hadiah wang tunai yang ditawarkan adalah berjumlah RM100,000 untuk 200 ahli Kelab TaHa yang bertuah,” katanya.

Menurutnya, tempoh kedua-dua kempen itu bermula 1 Jan sehingga 31 Dis 2021 dengan empat kali cabutan yang dijadual pada April, Julai, Oktober dan cabutan akhir pada Januari 2022.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai diminta merujuk terma dan syarat penyertaan Kempen #SimpanDaftar&Menang dan #SimpanDaftar&MenangKelabTaHa di laman sesawang TH atau menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas