LANGKAH kerajaan melaksanakan kempen keselamatan dalam talian di sekolah rendah dan menengah seluruh negara merupakan inisiatif terbaik dan perlu disokong bagi mengelakkan golongan pelajar jatuh ke tangan scammer.
Menurut Ketua Panitia Pendidikan Seni Visual, Sekolah Kebangsaan Sungai Udang, Klang, Rafidah Saharudin, era digital yang semakin maju menyaksikan penggunaan Internet dalam kalangan murid, guru dan ibu bapa menjadi semakin meluas sekali gus ancaman jenayah siber seperti penipuan, buli dan pencurian data peribadi turut meningkat.
“Kempen ini dapat memberi pendedahan awal kepada murid tentang cara melindungi diri dalam dunia digital termasuk mengenal pasti ancaman, menggunakan kata laluan yang kuat dan menjaga privasi dalam media sosial.
“Ibu bapa boleh mendapatkan panduan memantau aktiviti anak-anak mereka di Internet manakala guru boleh memainkan peranan sebagai pendidik dan penasihat untuk memastikan keselamatan murid ketika menggunakan teknologi,” katanya.
Tambah Rafidah kempen keselamatan siber ini bukan sahaja membantu melindungi generasi muda daripada menjadi mangsa jenayah dalam talian, tetapi juga memupuk budaya penggunaan Internet yang bertanggungjawab.
“Usaha berterusan seperti ini amat penting untuk membina masyarakat yang lebih celik digital dan selamat,” ujarnya menyokong saranan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil agar murid sekolah rendah tidak memberi fokus terhadap media sosial.
Sementara itu salah seorang ibu kepada pelajar, Raifah Abdul Rashid berkata, kesedaran berkenaan keselamatan dalam talian sememangnya harus dipupuk sedari kecil lagi supaya penggunaan Internet yang positif menjadi budaya atau cara hidup.
“Penggunaan Internet sememangnya tidak dapat dielakkan kerana ia merupakan trend semua negara, namun pemantauan dan kawalan terhadap apa yang ditonton mungkin mampu membantu. Sebagai contoh siaran berbayar, pengguna dapat tetapkan tetapan rancangan yang boleh ditonton umum atau tidak.
“Selain itu, ibu bapa perlu mengaktifkan mod kanak-kanak pada peranti yang digunakan selain menapis serta menggunakan enjin carian selamat khusus buat mereka,” ujarnya. – WILAYAHKU