Berita

Kemerdekaan negara dicapai kerana kesepaduan rakyat

- Diterbit 30 Ogos 2024 9:59 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua rakyat untuk menerima kenyataan bahawa kemerdekaan negara dicapai kerana kekuatan dan kesepaduan rakyat.

Beliau berkata walaupun ada pihak berbeza pendapat dalam hal kecil, namun menegaskan setiap rakyat mesti diberi perlindungan, ditunjuk kasih sayang dan diberikan pembelaan yang secukupnya.

“Saya mahu memanfaatkan kemerdekaan ini, Hari Kebangsaan 2024 sebagai tempat kita berpaut antara satu sama lain. Percayalah negara ini hebat kerana hebat rakyatnya.

“Negara ini potensinya lebih hebat kalau kita berpakat angkat darjat negara ini sebagai negara hebat di dunia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Sementara itu, Anwar mahu budaya baharu dimulakan dengan menoktahkan amalan keterlanjuran rasuah dan penyelewengan serta sikap khianat kepada negara.

Beliau berkata pimpinan negara harus lebih bertanggungjawab, tidak mengizinkan amalan merompak kekayaan negara dan menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.

“Apa erti kemerdekaan, tiap tahun ribuan anak beratur mengibarkan bendera keramat (Jalur Gemilang) menjerit Merdeka tetapi jiwa dirasuk kerana kita mengizinkan dan sistem mengizinkan keterlanjuran yang berterusan.

“Kita belajar dari sejarah, buta sejarah, buta hati, buta perasan, buta ciri kemanusiaan akan menyebabkan negara ini menerima dendangan hasut, dengki, khianat, mengizinkan keterlanjuran rasuah dan penyelewengan.

“Bila keadaan sampai ke tahap yang sudah parah dan rosak, tidak mungkin mudah diperbaiki lagi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas