KEMENTERIAN Pertahanan meletakkan soal keselamatan pegawai dan anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 di Lubnan sebagai keutamaan ketika ini, kata menterinya, Datuk Seri Khaled Nordin.
Beliau memberitahu keputusan sama ada untuk membawa pulang pasukan MALBATT 850-11 akan dilakukan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
“Kita dalam sehari tiga hingga empat kali dapat laporan. Kita sedang teliti, memang kita tidak nafikan pihak Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah melakukan provokasi.
“Jadi kita tunggu keputusan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Inisiatif Perajurit Broadband di Auditorium Kementerian Pertahanan.
Mengulas lanjut, Khaled berkata semua pasukan di bawah UNIFIL termasuk MALBATT 850-11 sudah diarahkan untuk tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik.
“Mereka sentiasa ada dalam bunker (kubu). Satu jangka masa berada di dalam bunker sekitar 12-13 jam.
“Tiada aktiviti tetapi Unifil masih belum buat keputusan sama ada untuk dipindahkan,” katanya.
Dua anggota pengaman Indonesia, UNIFIL cedera dalam serangan IDF di selatan Lubnan.
Menteri Luar, Retno Marsudi mengesahkan bahawa kedua-dua anggota itu mengalami cedera ringan akibat tembakan kereta kebal IDF ketika mereka sedang memantau dari menara pengawal di pangkalan kontingen Indonesia di Naqoura pada pagi Khamis.
Terdahulu, Kementerian Luar Indonesia mengumumkan memindahkan 65 warganya dari Lubnan susulan serangan udara Israel di negara itu.
Menurut Judha Nugraha, pengarah perlindungan warga kementerian berkenaan, 25 daripada mereka yang dipindahkan telah pulang ke tanah air, manakala selebihnya mendarat di Amman, Jordan. – WILAYAHKU