Berita

Kementerian Ekonomi akan anjur jelajah ‘Madani Mendengar’

- Diterbit 5 September 2024 2:17 PM MYT

BAGI memastikan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mencerminkan aspirasi semua rakyat Malaysia, Kementerian Ekonomi akan melancarkan jelajah ‘Madani Mendengar’, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, jelajah itu merupakan satu inisiatif untuk mengumpul input daripada kumpulan pemikir awam, wakil sektor swasta dan rakyat biasa di seluruh negara.

“Sesi jelajah ini bakal diadakan di 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan untuk memastikan setiap orang mempunyai peluang menyuarakan kebimbangan, pandangan dan juga cadangan mereka bagi membantu membentuk masa depan negara.

“‘Madani Mendengar’ akan menjadi platform bagi membolehkan semua suara dapat didengar, membimbing proses reformasi dan memastikan penggubalan dasar selaras dengan keperluan sebenar rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas menghadiri Persidangan Permulaan RMK13.

RMK13 akan melibatkan tempoh perancangan ekonomi bermula 2026 hingga 2030.

Dalam pada itu, Rafizi berkata pandangan-pandangan itu juga boleh disampaikan melalui portal RMK13 yang baru sahaja dilancarkan di pautan https://rmk13.ekonomi.gov.my .

“Saya ingin menyeru semua rakyat untuk mengambil bahagian secara aktif dalam perjalanan ini. Kejayaan RMK13 bergantung kepada pendekatan keseluruhan negara,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas