Berita

Kementerian dan agensi diarah laksana kempen kurangkan gula

- Diterbit 25 November 2023 8:13 AM MYT

KEMENTERIAN dan agensi kerajaan diarah melaksanakan kempen kurangkan gula berikutan Malaysia kini merekodkan bilangan penghidap diabetes paling tinggi di Asia.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia wajar menjadi negara sihat kerana Islam menekankan keperluan penjagaan kesihatan.

“Terdapat laporan menyatakan Malaysia paling tinggi mempunyai penghidap kencing manis atau diabetes di Asia dan perkara berkaitan kesihatan bukan lagi peranan sepenuhnya Kementerian Kesihatan.

“Saya juga mahu semua kementerian termasuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha supaya melaksanakan kempen kurangkan manisan gula.

“Kalau tidak saya akan rasa kesal, Malaysia negara yang terkenal Islam dan dakwah, tetapi paling ramai menghidap kencing manis,” katanya ketika merasmikan Karnival Usahawan Desa (KUD)@ Putrajaya di Anjung Floria di sini, hari ini.

Anwar berkata, ketika beliau dihidangkan teh tarik, minuman itu dirasakan manis.

“Saya mahu semua kementerian melaksanakan kempen kurangkan manis. Misalnya tadi, teh tarik saya manis, mereka (katering) nak jaga PM (Perdana Menteri) atau nak bagi dia kencing manis,” katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas