PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kejayaan dan kemenangan kerajaan dalam meleraikan kekusutan dan kontroversi melibatkan rancangan pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dan bakal dibina Masjid MADANI di Jalan Munshi Abdullah di sini bukanlah diasaskan kepada keangkuhan, sebaliknya ia berpaksikan kebijaksanaan, kekuatan moral, dan nilai kemuliaan Islam.
Beliau berkata, kerajaan mengambil pendekatan berhikmah termasuk berunding dengan pihak kuil bagi memastikan pembinaan masjid itu berjaya direalisasikan.
“Saya nak ajak, kita lihat umpamanya dalam kemelut ini memang betul rakan-rakan saya dan jemaah menteri tahu dari awal saya kata tegas runding… ya, tolak ansur… tapi tidak berganjak daripada keputusan kita bahawa masjid wajib didirikan di sini, tapi harus ada hikmah.
“Kemenangan kita ini bukan kerana keangkuhan. Kemenangan kita ini kerana kita mampu menunjukkan kebijaksanaan, kekuatan, dan kemuliaan Islam. Islam bukan tentang keangkuhan, tetapi tentang keadilan dan kasih sayang kepada semua,” katanya dalam ucapan Majlis Pecah Tanah Masjid MADANI di sini hari ini.
Tegasnya, Islam menuntut umatnya untuk menjadi contoh yang baik dengan mengamalkan keadilan, kasih sayang serta ihsan sebaliknya bukannya bersikap bengis atau menanam kebencian dalam masyarakat.
Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak supaya tidak melampaui batas dalam mengulas isu kuil terbabit yang berpotensi menyebabkan kerosakan terhadap perpaduan negara.
“Saya tahu dalam keadaan reaksi dari beberapa kalangan baik kelompok Islam juga kelompok Hindu yang agak melampau, yang tidak peduli lontar apa yang disebut dalam media sosial tanpa memikirkan pertama apa benar, apakah fakta itu betul? Ya, apakah kesannya itu buruk?
“Kita kena ingat kemenangan kita ini (pembinaan Masjid Madani) bukan kerana keangkuhan… aku menang. Kemenangan kita ini (membuktikan) yang kita mampu menunjukkan kebijaksanaan, kekuatan dan kemuliaan Islam, bukan keangkuhan,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusuf; Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Feroz Mohamad Jakel.
Beliau turut menyelar segelintir pemimpin yang hanya memperjuangkan sentimen perkauman sempit sehingga merosakkan perpaduan negara serta berpotensi menjadi ketegangan kaum.
“Kalau semua orang hanya mahu menjadi hero kaum sendiri, negara ini akan musnah. Nak jadi pemimpin Malaysia tetapi hanya bercakap bagi pihak sendiri dan mempertahankan kebencian kaum, itu bukan asas kepimpinan yang baik,” katanya.
Mengulas mengenai pembinaan Masjid Madani, Perdana Menteri menegaskan bahawa masjid bukan sekadar tempat ibadah tetapi juga pusat ilmu, kebudayaan dan perpaduan masyarakat.
“Masjid perlu ada ruang untuk budaya, seni, dan tempat masyarakat berkumpul supaya rakyat bukan Islam tidak kekok untuk datang serta mengenali Islam sebagai agama yang sederhana, penuh dengan rahmah dan hikmah,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan agar masjid turut dilengkapi dengan perpustakaan, dewan perbincangan serta ruang seni dan budaya bagi memperkenalkan Islam dalam perspektif yang lebih luas.
Menurutnya, dalam mana-mana projek pembangunan, sekiranya pihak swasta membiayai kosnya, kerajaan menggalakkan lebih banyak fasiliti dibina untuk manfaat masyarakat.
“Kalau kementerian yang biayai, kita kena jimat. Tapi kalau pihak lain yang tanggung kos, kita galakkan supaya ada lebih banyak ruang untuk manfaat rakyat,” katanya secara berseloroh.
Anwar turut mengingatkan bahawa negara hanya boleh mencapai kemajuan apabila setiap rakyat memahami sejarah dan menjunjung prinsip keadilan tanpa mengira kaum dan agama.
“Kita sudah mencapai banyak kejayaan termasuk dalam soal pembinaan masjid dan penyusunan semula rumah ibadat lain. Semua ini dilakukan dengan penuh tertib dan kesepakatan,” katanya.
Masjid MADANI yang bakal dibangunkan itu mempunyai empat tingkat dan boleh memuatkan 2,900 jemaah pada satu-satu masa. Ia lengkap dengan dewan persidangan dan bakal menjadi pusat kebudayaan dan keagamaan di kawasan berkenaan.-WILAYAHKU