Berita

Kembara Riuh bantu hampir 4,000 penggiat industri kreatif

- Diterbit 16 Disember 2022 3:35 PM MYT

PROGRAM Kembara Riuh yang menjadi landasan untuk mengumpul dan menggerakkan penggiat serta usahawan kreatif telah berjaya membantu 3,976 golongan berkenaan setakat ini.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata program itu juga menarik 449,810 pengunjung sejak ia diperkenalkan pada 2017.

“Pada 2022, hasil sampingan aktiviti ekonomi melalui penganjuran program ini telah mencipta 3,238 peluang pekerjaan dan menyokong 2,499 usahawan dan penggiat seni kreatif bagi masyarakat setempat,” katanya dalam ucapan majlis perasmian program Kembara Riuh di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Seri Mohammad Mentek.

Fahmi berkata industri kreatif diiktiraf kerajaan sebagai satu daripada industri strategik yang diberikan tumpuan khusus di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan menyasarkan RM31.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai ramai penggiat seni hebat, Fahmi berkata pendedahan kepada hasil kerja mereka adalah amat penting supaya masyarakat lebih maklum dan cakna tentang keindahan serta nilai hasil kerja kreatif.

Pada masa sama, beliau berkata industri kreatif juga memainkan peranan penting dalam perpaduan negara dan jati diri bangsa dalam membina negara berdaulat berlandaskan prinsip Rukun Negara.

“Nilai intrinsik kreatif bukan semata-mata untuk menghiburkan, nilai sebegini penting untuk menggalakkan persefahaman, mencabar minda serta memberi kekuatan selain meningkatkan kesedaran,” katanya.

Kembara Riuh ‘ROCK’N RIUH! BERSAMA UNIFI’ yang berlangsung tiga hari bermula hari ini di Bukit Kiara Equestrian Resort merupakan edisi keenam program tersebut bagi tahun ini selepas penganjurannya di Johor, Sabah, Melaka, Kelantan dan Perak.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk persembahan muzik, tarian moden dan tradisional, gerai ‘pop-up’, aktiviti komuniti seperti golf mini dan papan selaju serta pameran seni seperti ‘CLOUD’ oleh Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA). – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas