“RINDU rasanya kepada kereta kabel (cable car) dan kerusi angkut (chairlift) Bukit Nanas. Masih terbayang dahulu ketika menaiki kedua-duanya. Alangkah bagusnya jika dua tarikan pelancong di ibu negara ini diwujudkan kembali.”
Demikian luahan rakan Adi ketika kami santai berbual sambil menghirup teh dan menikmati roti canai di sebuah gerai pada satu pagi baru-baru ini.
Kata-kata rakan ini membuat Adi sendiri teringat kemeriahan ketika kereta kabel dan kerusi angkut Bukit Nanas beroperasi pada awal tahun 70-an. Kini kedua-duanya sudah menjadi sejarah setelah operasinya dihentikan dalam tahun 80-an.
Memori menikmati keindahan Kuala Lumpur dari udara dengan menaiki kedua-dua pengangkutan udara itu masih terbayang di ruang mata, menjadi kenangan mengusik jiwa ketika zaman remaja. Adi percaya ramai warga kota juga masih menyimpan kenangan ini.
Terdapat banyak tarikan pelancongan di ibu negara masa kini, antaranya Menara Kuala Lumpur, Dataran Merdeka, Muzium Negara, Tugu Negara, Masjid Negara, Menara Berkembar Petronas serta taman-taman yang indah menyejukkan pemandangan.
Namun generasi kini mungkin tidak mengetahui bahawa di awal tahun 70-an, kereta kabel dan kerusi angkut di Bukit Nanas adalah tarikan popular di kalangan pelancong tempatan dan luar negara. Ia adalah destinasi wajib bagi pelawat ke ibu negara.
Lokasinya ialah di kawasan hijau Bukit Nanas, di persimpangan Jalan Ampang dan Jalan Sultan Ismail, di tengah bandar raya. Dahulu dikenali sebagai Hutan Simpan Bukit Nanas.
Kini kawasan ini dikenali sebagai Taman Hutan Eko Bukit Nanas. Antara landmark dalam kawasan ini ialah Menara Kuala Lumpur, dan dua sekolah mubaligh terkenal iaitu St. John’s Institution dan Convent Bukit Nanas.
Adi sendiri pertama kali berpeluang merasa menaiki kereta kabel dan kerusi angkut ini apabila menjejakkan kaki ke ibu negara dari kampung untuk menyambung persekolahan dalam tingkatan empat pada 1972.
Kereta kabel atau dikenali juga sebagai bubble car, dan kerusi angkut ini unik kerana ia membolehkan pelancong merasai keseronokan menaikinya dalam dua situasi berbeza. Pertama menaiki kereta kabel yang bertutup, bermula dari platform stesen Bukit Nanas.
Dari dalamnya, sambil kereta kabel bergerak ini, dapat disaksikan dua versi kontras ibu negara, hutan konkrit yang melambangkan kemajuan pesat ibu kota, serta hutan hijau dengan pokok dan flaura fauna untuk mengimbangi pembangunan. Perbezaan ini dalam persekitaran bersebelahan antara satu sama lain.
Kedua ialah kerusi angkut yang terletak di sebelah platform kereta kabel. Sebelum kerusi bergerak sampai ke stesen, orang ramai bersiap sedia menanti. Apabila sampai sahaja perlu segera menaikinya. Keadaannya seperti menaiki buaian dengan kaki terjuntai.
Kerana ia terbuka, pergerakan pelancong akan terdedah kepada suasana sekitar, redup atau panas, sambil dibuai oleh udara segar dan sejuk pepohon hijau. Pemandangan memang menyegarkan. Perjalanan akan menuju ke arah kawasan paling hijau di Bukit Nanas.
Ketinggian kereta kabel dan kerusi angkut ini ialah lebih kurang 300 hingga 400 meter dari bumi. Masa perjalanan pula ialah antara 15 hingga 20 minit.
Ada yang tidak berani menaiki kerusi angkut kerana gayat. Justeru boleh sahaja menaiki kereta kabel. Setelah sampai ke destinasi, dan jika inginkan pengalaman berjalan kaki, boleh berpatah balik melalui laluan khas. Jika tidak boleh sahaja menaiki semua kereta kabel atau kerusi angkut itu untuk kembali ke stesen mula.
Untuk tanda ingatan dan kenangan-kenangan, pada penghujung platform di kedua hala terdapat kedai untuk pelancong memilih pelbagai cenderamata yang dijual. Bolehlah memilih mana yang berkenan di hati.
Sayang sekali tarikan pelancong yang popular ini dihentikan perkhidmatannya pada awal 80-an. Tidaklah Adi pasti sebab sebenar ia dihentikan. Yang pasti ibu negara kehilangan satu aset pelancongan yang sangat berharga dan mendapat sambutan hebat ketika itu.
Kerana itu Adi setuju dan menyokong sebarang usaha agar kereta kabel dan kerusi angkut ini diwujudkan kembali. Bukan sahaja ia menambah tarikan pelancongan di Kuala Lumpur tetapi juga membolehkan generasi masa kini menikmati keindahan ibu negara melalui kereta kabel dan kerusi angkut seperti suatu ketika dahulu.
Dengan kehadiran Menara Kuala Lumpur di kawasan Bukit Nanas, amat bersesuaian sekali kedua-dua pengangkutan udara ini dihidupkan kembali sebagai menambah seri dan kemeriahan kawasan tersebut, di samping menjadi ‘pengiring’ kepada Menara Kuala Lumpur menjadi tempat tumpuan pelancong.
Adi percaya jika ia dikembalikan, kedua-duanya pasti mendapat sambutan hangat untuk pelancong menyaksikan keindahan ibu kota dari udara. Juga ia bakal menjadi pusat pelancongan keluarga untuk bersantai dan berlibur. Malah ia mungkin boleh dikembalikan dalam suasana yang lebih hebat dan menarik daripada dahulu.
Memang kini boleh merasa naik kereta kabel di Genting Highlands dan Langkawi, namun suasananya berbeza dengan suasana di ibu kota. Sementara di Genting Highlands dan Langkawi dalam suasana bukit dan gunung, di Bukit Nanas ia menyerlahkan suasana bandar raya.
Beberapa tahun lalu pernah ada laporan akhbar kereta kabel ini akan diwujudkan kembali dan kawasan Bukit Nanas akan dimajukan dengan beberapa tarikan pelancongan lain. Kesemuanya bertujuan menjadikan kawasan tersebut kawasan tarikan pelancongan ulung. Namun sehingga kini ia belum menjadi kenyataan.
Kerana itu Adi ingin sangat melihat apa yang pernah dilaporkan itu menjadi kenyataan. Adi percaya ini juga harapan warga Kuala Lumpur yang mahu aset pelancongan di ibu negara itu kembali beroperasi.
Justeru Adi syorkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Perbadanan Kemajuan Pelancongan memikir dengan serius mengenai perkara ini. Dalam suasana ibu kota yang bergerak maju, ia harus diiringi dengan pembangunan sektor pelancongannya.
Adi–Seronok naik kerusi angkut – WILAYAHKU