KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bakal memulakan usaha mewujudkan Tabika Berkeperluan Khas atau Tabika Autisme pertama di Malaysia yang akan mula beroperasi di Melaka dan diperluas ke seluruh negara.
Inisiatif itu telah di telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri KKDW ketika berucap pada Program Pemerkasaan Masyarakat Madani KEMAS yang dihadiri lebih 700 orang kakitangan KEMAS di seluruh negara.
Menurut beliau, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha strategik KEMAS untuk memperluas akses pendidikan inklusif kepada kanak-kanak yang memerlukan perhatian khas, sekali gus menyokong agenda negara dalam membina masyarakat yang lebih inklusif dan sejahtera.
Selain itu, Ahmad Zahid turut menyatakan selama 64 tahun, KEMAS telah berjaya meletakkan asas yang kukuh dalam membangunkan komuniti desa yang sejahtera.
“Pengiktirafan Antarabangsa Gold Award – Reader’s Digest Trusted Brand buat kali kelima dan pencapaian Malaysia Book of Records – The Largest Children Participation in J-Robic Event 2024 menjadi bukti kecemerlangan ini.
“Tahun 2024 turut menyaksikan kenaikan elaun Pembantu Pemaju Masyarakat Sukarela (PPMS) KEMAS daripada RM500 kepada RM800, memberi manfaat kepada 9,400 pembantu TABIKA KEMAS di seluruh negara,” katanya.
Menurut Zahid, kerajaan juga telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1.51 bilion dalam Belanjawan 2025, termasuk RM20 juta khusus untuk Program Pra Tahfiz KEMAS.
Tambah beliau, meskipun pelbagai pencapaian telah diraih, KEMAS tidak akan berhenti di sini kerana institusi itu kini mengorak langkah ke arah transformasi strategik melalui pendekatan baharu yang lebih dinamik.
“Pendekatan “Cross-Functional” akan diterapkan dengan menggabungkan kepakaran Bahagian Pendidikan Kanak-Kanak, Bahagian Pembangunan Komuniti, dan Bahagian Pendidikan Kemahiran untuk melaksanakan program yang lebih berkesan,” katanya.
Mengulas lanjut Zahid berkata untuk memastikan keberkesanan berterusan dan usaha ke arah transformasi strategik KEMAS, beliau turut menggesa KEMAS memberikan tumpuan.
Katanya, tumpuan itu terhadap, Pelan Transformasi Digital, Pendidikan dan Latihan Kemahiran (TVET), Ekonomi dan Keusahawanan Desa, Tadbir Urus yang Mampan dan TABIKA Berkeperluan Khas untuk kanak-kanak autisme.
Katanya, dengan komitmen, dedikasi, dan semangat yang tinggi daripada seluruh kakitangan KEMAS dan KKDW, agensi itu akan terus mencipta kejayaan demi kemakmuran negara.
“Ini dapat membentuk tamadun bangsa yang cemerlang, bukan hanya untuk kesejahteraan hari ini, tetapi juga untuk masa depan yang lebih gemilang,” katanya. – WILAYAHKU