Berita

Kemalangan maut lima kenderaan: JPJ diarah jalankan siasatan terperinci

- Diterbit 24 Disember 2024 9:53 PM MYT

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) diarah menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kemalangan melibatkan lima kenderaan yang mengorbankan tujuh nyawa di Lebuhraya Utara Selatan berdekatan persimpangan tol Ayer Keroh, Melaka malam tadi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya juga mengarahkan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ untuk mengambil tindakan susulan sewajarnya terhadap syarikat lori treler serta bas yang terlibat dengan nahas tersebut.

“Siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan yang mengakibatkan kehilangan tujuh nyawa tersebut berpunca daripada tayar sebuah lori treler yang tercabut.

“Ini menyebabkan sebuah bas persiaran mengelak lalu terbabas dan merempuh tiga kenderaan dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Loke berkata, JPJ akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu terhadap kenderaan perdagangan berat.

Ini katanya, bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan sepanjang masa demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

“Saya bagi pihak seluruh warga Kementerian Pengangkutan, merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan itu,” katanya.

Nahas di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan arah utara kira-kira pukul 8.40 malam tadi mengorbankan tujuh nyawa, manakala sekurang-kurangnya 33 cedera.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, nahas itu membabitkan sebuah bas ekspres, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas