KEMENTERIAN Luar Negeri (Wisma Putra) menjelaskan hanya dua rakyat Malaysia terlibat dalam kemalangan bas berhampiran Tasik Asvatnet, Norway pada 26 Disember lalu, bukannya empat orang.
Menurut Wisma Putra, laporan awal menyatakan terdapat empat orang terlibat dalam kemalangan tersebut adalah disebabkan salah faham.
Katanya, hal demikian kerana dua lagi warga Malaysia kebetulan menetap di hotel sama yang menempatkan penumpang cedera iaitu di Hotel Thon dekat Lofoten.
“Kedua-dua warganegara ini telah disahkan tidak terlibat dalam insiden berkenaan,” kata Wisma Putra dalam kenyataan pada Selasa.
Wisma Putra menambah, pihaknya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm telah berjaya menghubungi dua warganegara Malaysia yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.
Kedua-dua individu tersebut katanya, mengalami kecederaan ringan namun telah dikategorikan sebagai kes ‘tanpa kecederaan’ oleh pihak berkuasa Norway dan berada dalam keadaan sihat.
“Mereka juga telah meneruskan perjalanan di Norway tanpa sebarang komplikasi lanjut.
“Kementerian Luar Negeri, bagi pihak Kerajaan Malaysia, ingin merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan kepada pihak berkuasa tempatan di Norway atas tindakan pantas dan bantuan yang
amat bermakna kepada penumpang Malaysia yang terlibat.
“Sokongan dan tindakan segera mereka amat dihargai. Keselamatan dan kebajikan warganegara Malaysia di luar negara kekal menjadi keutamaan utama Kementerian Luar Negeri,” katanya.
Terdahulu media melaporkan bahawa laporan awal menunjukkan penumpang di dalam bas itu termasuk pelancong asing dari China, Singapura, India, Belanda, Malaysia, Sudan Selatan, Perancis dan Ukraine.
Daripada 58 penumpang, tiga kematian dilaporkan dan empat individu mengalami kecederaan serius dan sedang menerima rawatan di Hospital Stokmarknes. – WILAYAHKU
[Iklan]