LIMA rakyat Malaysia dilaporkan cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua bas pelancong di Lebuhraya Chuo, Hachioji, barat Tokyo, semalam.
Menurut Wisma Putra, setelah menerima rawatan dan pemeriksaan kesihatan, kelima-limanya telah dibawa pulang ke tempat penginapan mereka.
“Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, memantau rapi situasi susulan kemalangan membabitkan dua buah bas pelancong berkenaan.
“Insiden tersebut berlaku sekitar pukul 10.15 pagi berhampiran pintu masuk Terowong Kobotoke, membabitkan dua buah bas yang bergerak bersama dan membawa sejumlah 47 penumpang, kebanyakannya warga asing, dari Stesen JR Tokyo menuju ke Tasik Kawaguchi di Wilayah Yamanashi,” katanya dalam kenyataan.

Jelas Wisma Putra, berdasarkan laporan pihak berkuasa tempatan, insiden berlaku apabila salah sebuah bas telah melanggar belakang bas satu lagi.
Katanya, Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo mengesahkan bahawa lima orang warganegara Malaysia berada di dalam kedua-dua bas tersebut. – WILAYAHKU